fbpx
Anuar Fariz Fadzil

MDEC tumpu pelaksanaan strategi nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan strategi nasional bersama Kementerian Digital, Pejabat AI Negara dan agensi-agensi lain, termasuk kerja asas di bawah Pelan Tindakan AI Negara 2026 hingga 2030.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Fariz Fadzil berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui kerjasamanya dengan kerajaan negeri berhubung Zon Pertumbuhan AI Serantau menjelang pelaksanaan bermula pada tahun ini.

Menurut beliau, asas untuk Malaysia telah tersedia dan apa yang penting kini adalah untuk melaksanakan fasa penyampaian nilai jangka panjang untuk negara dan juga manfaat kepada rakyat.

“Transformasi digital telah beralih daripada reformasi kepada hasil,” katanya. “Dunia tidak akan menunggu. Kita perlu berkembang dengan lebih pantas, lebih bijak dan dengan niat yang lebih jelas, katanya dalam kenyataan bersempena sambutan ulang tahun ke-30 MDEC pada tahun ini.

Anuar Fariz menjelaskan, ketika negara mempercepat kemajuan ke fasa ekonomi digital yang dipacu kecerdasan buatan (AI) maka dekad akan datang akan ditentukan bukan lagi oleh keghairahan dasar semata-mata, tetapi disumbangkan oleh pelaksanaan yang berdisiplin dan mampu menghasilkan produktiviti, daya saing serta penciptaan nilai yang boleh diukur.

Tambah beliau, sebagai persiapan memasuki  fasa pembangunan digital negara yang lebih mencabar, usaha asas pihaknya yang dibina sejak beberapa dekad lalu kini perlu diterjemahkan kepada hasil ekonomi yang nyata.

“Apabila MDEC ditubuhkan pada tahun 1996, keutamaannya adalah untuk meletakkan Malaysia di peta digital, jadi ini bermaksud, kita perlu membangunkan infrastruktur, kesalinghubungan dan keupayaan digital asas. 

“Hari ini, cabarannya adalah untuk menukar asas tersebut kepada impak nasional yang sebenar dan mampan dalam jangka panjang,” ujarnya.

Ditubuhkan semasa era Koridor Raya Multimedia (MSC), MDEC merupakan antara agensi ekonomi digital yang disokong kerajaan paling awal di Asia. 

Sepanjang tiga dekad, ia memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan langsung asing, menyokong pertumbuhan syarikat teknologi tempatan serta menyumbang kepada kerangka dasar yang membentuk hala tuju digital Malaysia.

Ketika MDEC melangkah ke dekad keempat, Anuar berkata penekanan kini jelas terarah kepada pelaksanaan dan kerjasama. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI