KUALA LUMPUR – Anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohd. Kurniawan Naim mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berikutan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi berkenaan baru-baru ini.
Mohd. Kurniawan Naim melafazkan sumpah itu dengan disaksikan oleh Ahli-ahli Parlimen yang lain kira-kira pukul 10 pagi.
Pada PRK Kinabatangan, Mohd. Kurniawan Naim menang dengan majoriti 14,214 undi bagi menewaskan dua pencabarnya daripada parti lain.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bung Moktar, 66, pada 5 Disember tahun lalu.
Sementara itu, Johari dalam ucapan mengalukan kehadiran Ahli Parlimen Kinabatangan berharap Mohd. Kurniawan Naim dapat meneruskan legasi, jasa dan pengorbanan bapanya.
Beliau turut menyeru Mohd. Kurniawan Naim supaya memberi sumbangan yang berfaedah dan bermakna sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan kepada rakyat dan negara
“Semoga Yang Berhormat berkhidmat dengan penuh dedikasi dan cemerlang. Tahniah saya ucapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














