PETALING JAYA – Mendedahkan realiti dunia seni, penyanyi dan pelakon Ieda Moin mengakui industri hiburan tempatan masih dihuni kelompok penggiat seni yang mempunyai sikap sebagai pembuli.
Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 47, berkata dalam lingkungan kerjanya tetap wujud anasir negatif, namun dia bersyukur mempunyai tempat untuk mengadu nasib iaitu kepada pelakon, Izara Aishah.
“Saya sangat menyayangi Izara Aishah kerana dia seorang pendengar yang baik, sangat tegas dan mempunyai budi pekerti yang sangat baik.
“Saya akan mengadu kepadanya apabila terasa diri dibuli, lalu dia terus memberikan nasihat serta memberitahu apa yang perlu dilakukan terhadap manusia yang gemar membuli ini,” tulisnya dalam hantaran di Threads.
Katanya, rakan seperjuangan itu juga merupakan pelindung yang sentiasa memberikan suntikan semangat kepadanya.
“Dalam industri kami juga terdapat ramai pembuli. Sayang awak, dik (adik),” tulisnya ringkas yang turut menyertakan emoji hati.
Perkongsiannya meraih maklum balas pemilik akaun Threads lain yang senada dengannya selain berharap lebih ramai artis seperti Izara yang lantang melawan gejala buli.
“Memang betul la membuli dalam industri ini memang banyak kan. Dah dinormalisasikan dari dulu lagi,” kata seorang peminat.
“Yang nak buli Tokti (Siti Nurhaliza) pun dia bidas. Jangan main-main dengan dia. Orang nak cakap dia rempit ke apa kisah pulak dia,” tulis netizen lain.
Sejak kelmarin, industri hiburan panas dengan kisah kemelut lampau membabitkan dua bintang muda, Puteri Balqis dan rakan seindustri, Mia Sara Nasuha.
Balqis atau Aqish, 19, mendakwa pelakon terbabit pernah memperlekehkan ibunya, malah ada dalam kalangan penggiat seni lain juga didakwa melakukan perkara sama iaitu membulinya.
Namun Izara antara selebriti yang tampil menyuarakan sokongan padu terhadapnya dengan alasan tersendiri terutama apabila merela memiliki kisah hidup yang hampir serupa. – KOSMO! ONLINE














