fbpx
MOHAMAED KHALID pada lawatan kerja di Kem Terendak, Melaka, hari ini.

Perolehan beku: Mindef akan runding jamin operasi ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mengadakan rundingan dengan kerajaan berhubung mana-mana perolehan yang dibekukan sekiranya ia didapati memberi kesan terhadap kelangsungan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pembekuan sementara perolehan yang diumumkan kerajaan sebelum ini bertujuan menambah baik sistem perolehan, khususnya dari aspek ketelusan dan tadbir urus.

Ujarnya, bagaimanapun sekiranya terdapat perolehan yang melibatkan keperluan operasi, pihaknya akan mengemukakan perkara tersebut untuk dibincangkan supaya penyelesaian terbaik dapat dicapai.

“Kita faham mengapa pembekuan itu dibuat, supaya dapat diberi perhatian bagaimana kita hendak menambah baik proses-proses perolehan dan sebagainya.

“Namun, mana-mana perolehan yang dirasakan boleh menjejaskan operasi, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kementerian boleh mengemukakan perkara itu untuk dirunding supaya perolehan-perolehan berkenaan dapat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! pada 21 Januari lalu melaporkan Perdana Menteri menegaskan pembekuan sementara semua perolehan melibatkan ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan lain akan diteruskan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, langkah itu bagi memastikan semua urusan perolehan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan kepentingan negara.

Katanya, agensi penguatkuasaan serta pasukan keselamatan negara tidak boleh meneruskan amalan bobrok yang merosakkan bukan sahaja kepada negara, tetapi kepada industri itu sendiri.

Terdahulu, pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut menyempurnakan upacara pecah tanah Projek Pembangunan Hospital ATM baharu bernilai RM320 juta yang telah bermula pada 2024 dan dijangka siap pada Januari 2029 dengan kapasiti 150 katil.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN