KOTA BHARU – Stesen Pam Kemubu 4 yang mampu membekalkan air ke kawasan sawah padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) semasa musim kemarau dijangka dapat berfungsi sepenuhnya pada awal bulan depan.
Pengerusi Kada, Khalid Abdul Samad berkata, ujian awal yang dijalankan terhadap dua daripada lapan pam tersebut berjalan lancar seperti yang dirancang.
Beliau berkata, sehubungan itu, stesen yang menelan belanja hampir RM20 juta itu dijangka boleh berfungsi penuh pada Februari ini termasuk empat pam di Lemal, Pasir Mas.
“Kita yakin Kemubu 4 mampu menyediakan bekalan air mencukupi bagi 16,000 hektar kawasan sawah Kada melibatkan lebih 4,000 pesawah di Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.
“Justeru, Kada memutuskan hanya Stesen Pam Kemubu 2, 3 dan 4 akan diguna pada masa depan. Rumah Pam Kemubu 1 yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pada 2 Mac 1973 pula dimansuhkan daripada beroperasi penuh selepas ini,” katanya pada sidang media selepas sesi ujian awal sistem pam Stesen Pam Kemubu 4 di sini hari ini.
Khalid memberitahu, Stesen Pam Kemubu 1 masih menggunakan sistem lama yang memerlukan ketinggian paras air minimum 4.9 meter untuk berfungsi yang sukar dicapai dalam keadaan iklim semasa ketika ini.- KOSMO! ONLINE














