SEREMBAN – Perbicaraan kes pemilik syarikat pelancongan umrah yang didakwa menipu seorang lelaki berkaitan pakej umrah sehingga menyebabkan kerugian lebih RM115,0000 terpaksa ditangguhkan selepas tertuduh mengalami sakit gout.
Prosiding perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan esok.
Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 48, memaklumkan anak guamnya mendapat cuti sakit disebabkan masalah kesihatan.
“Pada pukul 12.30 tengah malam tadi saya baru dimaklumkan oleh tertuduh dia mendapat cuti sakit (MC) hari ini dan esok kerana sakit gout,” katanya.
Hakim Mohamad Kamil Nizam menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 7 dan 8 Julai depan dan meminta pihak pembelaan mengelak penangguhan pada tarikh akan datang memandangkan kes pada 2024. Pihak pembelaan memberi jaminan kes akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Pada 2 Februari 2024, Muzzamil Soliheen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu lelaki berusia 53 tahun sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM115,030 pada 23 hingga 30 Januari 2023 di sebuah syarikat di Nilai dekat sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal. – KOSMO! ONLINE














