SEREMBAN – Negeri Sembilan dipaksa bekerja keras untuk mengesahkan slot suku akhir Piala Malaysia selepas memastikan kemenangan tipis 1-0 secara agregat ke atas Imigresen FC.
Selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama, permainan kedua pusingan 16 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, sebentar tadi lebih berpihak kepada tuan rumah yang memperoleh gol kemenangan menerusi Luqman Hakim Shamsudin.
Pengendali tuan rumah, Nidzam Jamil mempertaruhkan senarai terbaik untuk mengemudi jentera serangan yang diperkuatkan oleh Luqman Hakim, A. Selvan, Jovan Motika dan Joseph Esso.
Disebalik aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan, permainan di babak pertama lebih menjurus kepada kegagalan bintang import tuan rumah, Takumi Sasaki menyempurnakan sepakan penalti sekali gus memaksa 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan.
Tuan rumah memulakan babak kedua dengan agresif dengan menyaksikan gerak kerja berpasukan sering menghadirkan ancaman kepada benteng pertahanan Imigresen FC.
Selepas sering menjadi titik serangan pasukan, Luqman Hakim berjaya menghadirkan keceriaan buat penyokong Negeri Sembilan apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-61.
Kira-kira tiga minit selepas itu, gawang tuan rumah bocor namun agak bernasib baik apabila Fayadh Zulkifli Amin terlebih dulu dikesan berada di kedudukan offsaid.
Seterusnya, Imigresen FC terus garang mengatur serangan namun sering dinafikan oleh pertahanan lawan dan sentuhan penyudah kurang baik.
Pada aksi suku akhir nanti, Negeri Sembilan dijadualkan menentang Selangor FC yang layak selepas menyingkirkan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 5-1 secara agregat. – KOSMO! ONLINE













