fbpx
ZUREENA (kanan) dan anak perempuannya ketika ditemui wartawan Kosmo! di bilik sewanya di Sikamat, Seremban baru-baru ini.

Ibu buta, dua anak tinggal di bilik sempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Kehidupan seorang ibu tunggal berubah sekelip mata selepas hilang penglihatan sehingga terpaksa menyewa bilik bersama dua anak berusia 13 dan enam tahun sejak Ogos lalu sebanyak RM400 sebulan.

Kekurangan diri itu menyebabkan Zureena Zulkefli, 40, yang merupakan ibu empat anak tidak dapat bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk meneruskan kehidupan.

“Anak pertama dan anak bongsu berusia 18 tahun dan empat tahun dijaga bekas kakak ipar. Sebelum ini saya menumpang di rumah adik, namun berpindah keluar kerana tidak mahu menyusahkannya yang sudah berkeluarga,” katanya ketika ditemui di Sikamat di sini baru-baru ini.

Menurut Zureena, dia sudah membuat permohonan untuk menyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) pada bulan lalu dan berharap ia diluluskan segera.

“Saya kasihan tengok anak-anak tinggal dalam bilik yang sempit. Wang bantuan JKM dan Baitulmal digunakan untuk membayar sewa, manakala bakinya untuk membeli barang keperluan termasuk makanan,” katanya.

Bercerita mengenai matanya, wanita itu berkata, doktor memaklumkan saraf mata kanannya mati, manakala penglihatan mata kiri makin merosot dan peluang untuk pulih sangat tipis.

“Saya merayu jika ada pihak yang sudi membantu dari segi rawatan kerana saya mahu kembali bekerja demi anak-anak. Anak perempuan yang berusia 16 tahun banyak membantu urusan harian termasuk membawa ke hospital bagi rawatan susulan,” katanya.

Disebabkan kemiskinan, dua anak Zureena tidak bersekolah dan dia mengakui bimbang akan masa depan mereka.

“Anak kedua saya fasih berbahasa Inggeris dan minat melukis. Dia mempunyai masalah disleksia. Anak ketiga berusia enam tahun pula tidak boleh bertutur,” katanya.

Wanita itu bersedia menerima tawaran bekerja dari rumah seperti membungkus barang atau melipat pakaian. Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Berhad bernombor 0511241000155305 atas nama Zureena Zulkefli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN