PETALING JAYA – Enggan memanjangkan kemelut, pelakon Janna Nick meminta maaf kepada semua pihak sekiranya perkongsiannya dalam media sosial semalam mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai.
Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner, 31, berkata, dia menyedari tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu sehingga mencetuskan perdebatan ramai.
“Saya pun minta maaf pada semua, kalau perkongsian Threads ini menjadi punca perbalahan.
“Saya salah, tak patut pun cakap ‘learn to let go and let Allah SWT take care of it (belajar melepaskan dan biar Allah aturkan).
“Saya doakan semua yang ada rasa dendam, benci, amarah dan trauma akan diberikan kesembuhan. Dilapangkan dada serta diberikan kebahagiaan,” katanya.
Janna menambah, dia juga berharap semua individu yang membesar dalam sebuah keluarga berpecah-belah terus kuat dalam berdepan dugaan.
“Saya doakan juga, semoga semua anak-anak ‘broken home’ agar diberikan kebahagiaan.
“Semoga segala trauma yang kalian hadapi masa kecil akan sembuh.
“Ikhlas dari anak ‘broken home’, juga tiada bapa dan ikhlas mencari rezeki demi emak serta adik-adik yang masih bersekolah,” ujarnya.
Sejak semalam, Janna menjadi topik bualan hangat selepas dikatakan cuba campur tangan isu melibatkan Puteri Balqis dengan Mia Sara Nasuha.
Namun sebaliknya berlaku apabila Puteri Balqis mendedahkan perkara lain seperti mendakwa Janna juga pernah memberi layanan tidak acuh terhadapnya ketika menjalani penggambaran bersama sebelum ini.
Rentetan itu, Janna turut mengeluarkan kenyataan bersedia bersemuka dengan Puteri Balqis secara online bagi menyelesaikan kemelut antara mereka. – KOSMO! ONLINE














