JERANTUT – Musim durian kali ini bukan sahaja menggembirakan para penggemar raja buah, malah turut memberi limpahan rezeki kepada peniaga durian apabila jualan mereka dibeli penduduk untuk dijadikan tempoyak.
Malah, ada peminat makanan berasaskan tempoyak turut mengambil peluang memborong durian dalam jumlah yang banyak ekoran tawaran harga serendah RM2 sekilogram yang diberikan oleh para peniaga.
Seorang wanita dari Kampung Mela, Lipis di sini, Rosidah Ahmad, 64 berkata, dia dan suami, Ab. Wahad Daud, 72, sanggup membelanjakan lebih RM1,500 semata-mata untuk membeli durian dari peniaga di Kampung Ulu Cheka.
Katanya, mereka mengambil kesempatan berikutan harga durian yang jauh lebih murah berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini durian yang sesuai untuk dijadikan tempoyak dijual sekitar RM5 hingga RM6 sekilogram, namun kini terdapat peniaga yang menawarkan harga serendah RM2 sekilogram.
“Bila harga murah macam ini, rugi kalau tak ambil peluang. Jadi kami borong untuk buat stok tempoyak,” katanya semalam.
Tambahnya, durian yang dibeli itu diperoleh daripada beberapa peniaga tempatan yang menjual buah secara borong.
“Harga durian berbeza mengikut gred dan saiz, iaitu sekitar RM2.50 hingga RM3 sekilogram, selain dijual secara pukal antara RM150 hingga RM200 setiap bakul.
“Hampir 10 bakul kami beli. Ada durian besar dan ada juga yang kecil,” katanya.
Menurut Rosidah, selepas selesai membeli, mereka dibantu anak-anak bergotong-royong mengopek dan memproses durian bagi menghasilkan tempoyak.
Jelasnya, tempoyak yang siap diperam akan disimpan dalam peti sejuk beku bagi memastikan ketahanannya untuk tempoh yang lebih lama.
“Hasilnya lebih 50 kilogram tempoyak berjaya dihasilkan untuk kegunaan sendiri dan sebahagiannya diagihkan kepada anak-anak serta ahli keluarga terdekat,” katanya.
Rosidah berkata, antara masakan kegemaran keluarga ialah gulai tempoyak yang digandingkan dengan ikan sungai seperti patin, kerai dan lampam.














