KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus mengekalkan momentum terbaik apabila mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters.
Pada aksi separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, gandingan No.4 dunia itu mudah menewaskan piihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 21-12.
Tang Jie-Ee Wei membuktikan status mereka sebagai juara dunia apabila menampilkan aksi cukup baik bagi menguasai sepenuhnya perlawanan sebelum menang dalam tempoh 33 minit.
Walaupun diberikan tentangan sengit di set pertama, namun anak-anak buah Nova Widianto itu mempamerkan corak permainan lebih agresif dalam set berikutnya.
Menjelang aksi final esok, Tang Jie-Ee Wei akan berdepan sama ada beregu tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu ataupun Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark.
Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama Malaysia mara ke final Indonesia Masters dalam acara beregu campuran selepas kali terakhir dilakukan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2016. – KOSMO! ONLINE














