SEREMBAN – Seorang pembantu jururawat maut manakala suaminya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Rasah, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, wanita berusia 33 tahun yang membonceng motosikal jenis Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Persona dipandu lelaki berusia 38 tahun bersama isterinya dari arah Jalan Rasah menghala ke Sikamat.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai menukar lorong dari kanan ke kiri untuk masuk simpang dan tindakan itu menyebabkan penunggang motosikal dari arah belakang gagal mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kiri kereta berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini.
Akibat pelanggaran itu, katanya, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia manakala penunggang motosikal lelaki berusia 38 tahun yang merupakan anggota polis mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.-KOSMO! ONLINE














