MADRID – Masa depan Trent Alexander-Arnold bersama Real Madrid kini di hujung tanduk selepas gagal memikat pengendali baharu, Alvaro Arbeloa sekali gus diarahkan untuk berhijrah pada jendela perpindahan akan datang.
Sebagai rekod, Alexander-Arnold telah berhijrah pada nilai yang sangat rendah ke Santiago Bernabeu pada tahun lalu selepas menjadi sasaran pembelian No. 1 oleh jurulatih The Galacticos ketika itu, Xabi Alonso.
Namun, selepas Alonso dipecat awal bulan ini, emosi Alexander-Arnold terkesan selepas mengadakan perbicangan ‘hati ke hati’ dengan Arbeloa mendedahkan tidak berminat dengan corak permainannya.
Menurut laporan, Arbeloa berterus terang kepada pemain antarabangsa England itu bahawa dia tidak menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang pasukan dan dibenarkan meninggalkan kelab pada jendela perpindahan seawal bulan ini.
Pertemuan tersebut digambarkan berlangsung secara telus dan tanpa berselindung, dengan kelemahan Alexander-Arnold ketika membantu pasukan bertahan menjadi faktor utama Arbeloa membuat keputusan tersebut.
Situasi ini bukanlah mengejutkan kerana sejak berhijrah ke Real, prestasi Alexander-Arnold merudum selain sering dibelenggu kecederaan.
Difahamkan, dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United dan Manchester United telah dikaitkan dengan Alexander-Arnold selain Bayern Munich yang turut memantau situasi semasa sebelum membuat bidaan rasmi.
Real yang kini hanya dibezakan satu mata dengan Barcelona dalam perebutan La Liga dijadual bertemu Villarreal, awal pagi esok. – AGENSI














