fbpx
Hannah Yeoh ketika sidang media mengenai Bazar Ramadan dan Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Menara Seri Wilayah di Putrajaya hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

Caj tapak bazar Ramadan di Kuala Lumpur RM400, turun RM100 tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kerajaan menetapkan kadar caj maksimum RM400 bagi tapak bazar Ramadan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun ini berkurangan sebanyak RM100, berbanding RM500 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutan), Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dibuat bagi meringankan beban golongan penjaja kecil khususnya di ibu negara.

“Selain itu, caj sama turut diwajibkan ke atas persatuan penjaja bagi mengelak sebarang beban kewangan yang tidak munasabah dikenakan kepada penjaja. Sebarang amalan sublet, jual beli tapak atau pengambilan untung berlebihan adalah dilarang.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pelanggaran termasuk melibatkan penganjur,” katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Bagi penganjuran bazar Ramadan, Hannah berkata, sebanyak 42 lokasi ditawarkan kepada penjaja dengan sembilan daripadanya berada bawah seliaan DBKL, manakala 32 lagi dikendalikan persatuan penjaja.

Tiga persatuan utama yang terlibat ialah Pertubuhan Pasar Malam Kuala Lumpur, Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan serta Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagi menjaga kualiti dan kawalan harga makanan di bazar Ramadan, DBKL bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan membuat pemeriksaan setiap hari sepanjang Ramadan.

“Saya berharap apabila kita turunkan kadar caj, harga makanan juga munasabah. Saya mahu persekitaran bazar Ramadan sentiasa bersih,” katanya.

Sementara itu, Hannah memaklumkan, caj tapak bazar Ramadan bagi Putrajaya kekal pada kadar RM1,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN