fbpx
Fahmi Fadzil.

RUU PSB ditarik balik untuk diteliti, dibentang semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kerajaan bersetuju menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) untuk diteliti dan ditambah baik sebelum dibentangkan semula di Parlimen.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju secara dasar bahawa wujud keperluan untuk mengubal semula rangka undang-undang berkenaan.

“Usaha itu dibuat bagi membolehkan isu perubahan di kawasan bandar khusus berkait miskin bandar diatasi dengan tuntas dan adil.

“Maka, pada hari ini Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa undang-undang pembaharuan sebuah bandar ini akan ditarik balik untuk ditambah baik, diteliti dan dibentangkan semula,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Ditanya apa alasan RUU itu ditarik balik, Fahmi berkata, ia dibuat selepas mengambil kira pandangan ahli-ahli Parlimen yang telah membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Sebahagiannya (pandangan) ada melibatkan maklum balas yang Jemaah Menteri telah terima dari rakan-rakan UMNO dan juga ahli-ahli Jemaah Menteri yang lain.

“Kita inginkan RUU PSB ini diberi satu bentuk yang menerima semua pandangan-pandangan ini sebelum dimasukkan sebagai draf.

“Jadi ada beberapa perkara kita akan teliti untuk tambah baik. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming sendiri telah memaklumkan daripada pihak UMNO ada sejumlah cadangan yang telah diterima dan ia akan dimasukkan sebagai draf,” katanya.

Katanya, proses menghasilkan semula draf RUU PSB itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara dan ia akan mengambil sedikit masa sebelum dibentangkan semula.

Sebelum ini, RUU PSB telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Kor Ming dengan tujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.

Bagaimanapun, pembentangan bacaan kedua rang undang-undang itu ditangguhkan selepas beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyuarakan hasrat supaya ia diteliti semula dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN