PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal menempuh detik cemas apabila nyaris melanggar individu dipercayai warga asing yang berdiri di tengah jalan sehingga menarik perhatian orang ramai.
Menerusi perkongsian rakaman papan pemuka (dashcam) di Facebook oleh Ridzwan Mazlan, kelihatan seorang lelaki warga asing memakai vest pantulan cahaya berlari melintas jalan sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang lagi warga asing yang berdiri di tengah laluan.
Bagaimanapun, penunggang motosikal tersebut sempat mengelak sebelum meneruskan perjalanannya.
“Pagi-pagi sudah jumpa mam**. Syukur selamat,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-rata turut terkejut dan bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku.
“Lintas jalan cari tempat selamat dan cerah. Satu lagi, lintas kemudian berhenti di laluan tengah sangat bahaya terutama waktu malam dan gelap. Lampu kereta depan akan mengaburi mata pemandu,” komen Aisyah.
“Bahayanya, kenapa dia berdiri di situ saja,” kata Arji. – KOSMO! ONLINE














