fbpx
SEBAHAGIAN penerima dokumen pengenalan diri pada Program Mekar Komuniti Jabatan Pendaftaran Negara di Hutan Royal Belum di Gerik semalam.

52 Orang Asli Royal Belum teruja terima dokumen pengenalan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERIK – Seramai 52 Orang Asli di Hutan Royal Belum di Gerik teruja apabila penantian mereka untuk menerima dokumen pengenalan diri akhirnya terlaksana menerusi Program Mekar Komuniti Jabatan Pendaftaran Negara semalam.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, sebanyak 52 dokumen pengenalan diri berjaya diserahkan kepada masyarakat Orang Asli di dua lokasi melibatkan 31 penerima di Kampung Sungai Kejar dan 21 penerima di Kampung Sungai Tiang, RPS Banun.

“Penyerahan dokumen kali ini merangkumi MyKad, Sijil Kelahiran (Daftar Lewat) dan MyKid. Dokumen-dokumen ini pastinya akan membolehkan penerima mengakses pelbagai perkhidmatan penting kerajaan seperti bantuan subsidi, pendidikan dan penjagaan kesihatan,” katanya di Gerik semalam.

Katanya lagi, Program Mekar Komuniti JPN ini turut meringankan beban masyarakat yang majoritinya mencari hasil hutan, bekerja kampung dan nelayan.

“Sebelum ini, mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh tanpa akses jalan darat, mengambil masa hampir dua jam ke Gerik dan menanggung kos untuk mendapatkan perkhidmatan.

“Kehadiran pasukan JPN terus ke kawasan mereka kali ini telah memudahkan urusan pendaftaran dan membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan setiap warga yang layak mendapat perkhidmatan setara walaupun tinggal di lokasi sukar diakses,” katanya.

Untuk rekod JPN telah melaksanakan sebanyak 3,607 Program Mekar sepanjang tahun lalu yang mana 732 ialah Program Mekar Komuniti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI