KOTA KINABALU – Melaka FC mengesahkan sebagai pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengatasi Sabah FC 5-2 secara agregat.
Pada perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Likas, sebentar tadi, Melaka FC yang kini dibimbing oleh mantan penolong jurulatih Harimau Malaya, E. Elavarasan meraih kemenangan selesa 3-0.
Terdahulu, tuan rumah seakan tidak bernasib baik apabila jaringan Darren Lok pada minit ke-10 dibatalkan selepas penyerang itu dikesan berada di kedudukan offsaid.
Menuju ke penghujung babak pertama, The Rhinos terus dihimpit malang apabila Gary Steven Robbat dilayangkan kad merah pada minit ke-43.
Hanya empat minit selepas aksi bersambung, pelawat akhirnya berada di depan menerusi penyudah sempurna Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem.
Walaupun ketinggalan satu gol dan kurang seorang pemain, Sabah FC seakan masih mempunyai tenaga tambahan apabila dilihat mampu menguasai permainan namun gagal menghadirkan penyudah dengan lebih baik.
Tempoh lima minit terakhir babak kedua seakan menjadi mimpi ngeri buat Sabah FC apabila bolos dua gol lagi dalam tempoh dua minit.
Che Rashid Che Halim berjaya menoktahkan sisa perjuangan Sabah FC pada minit ke-85 sebelum Ahmed Ayman meledak gol ketiga perlawanan.
Di peringkat suku akhir nanti, Melaka FC hampir pasti akan menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menang selesa 10-1 ke atas PDRM FC pada perlawanan pertama pusingan 16, Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE














