KUALA LUMPUR – Tanpa hebahan atau merancang tempoh tertentu, pelakon Amyza Aznan mendedahkan penampilan baharunya yang kini berhijab penuh dijalani sejak Oktober tahun lalu.
Berkongsi dalam nada sebak, Amyza, 50, memaklumkan penghijrahan tersebut dilakukan atas niat untuk memuliakan dirinya sendiri.
“Secara rasmi dah bertudung bermula bulan 10 tahun lepas.
“Apa yang membuatkan saya pilih untuk berhijab, ada yang kata mungkin dugaan atau ujian saya alami sebelum ini. Tidak, yang buatkan saya berhijab sebab saya nak rasa diri saya mahal.
“Anak-anak pun nak saya nampak mahal dan mereka sangat suka,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang media Drama Ramadan Raya 2026, Jwanjih Drama, semalam.
Ditanya mengenai reaksi emosinya ketika berkongsi khabar gembira tersebut, pelakon drama Rindu Kasih itu mengakui sukar menggambarkan perasaan yang dialaminya, sebaliknya percaya perubahan itu adalah tanda kasih sayang Allah terhadap dirinya.
“Tak tahu nak terangkan macam mana, Allah sayang saya,” ujarnya sambil menitiskan air mata.
Bagaimanapun, Amyza memilih untuk tidak berkongsi secara terperinci faktor yang mendorong dirinya berhijab kerana bimbang mencetuskan pelbagai pandangan dan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
“Saya rasa apa yang membuatkan saya berhijab, saya tak nak kongsikan sangat sebab takut ada banyak perbalahan.
“Tahulah orang sekarang, semua nak bagi pendapat. Jadi, saya ambil keputusan tak berkongsi apa yang menyebabkan saya berhijab,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, keputusan tersebut juga dibuat tanpa sebarang dorongan daripada mana-mana pihak dan berlaku secara spontan.
“Tiada dorongan sesiapa, bila bertudung baru saya sedar bila Allah berkehendak, dalam sesaat atau sekelip mata akan terjadi.
“Semalam tak fikir esok nak pakai tudung, tiada. Esoknya itu memang sekelip mata,” jelasnya.
Sebelum ini, Amyza kerap berkongsi penampilan terbaharunya dalam media sosial sekali gus meraih pujian daripada peminat dan mendoakan agar dirinya kekal istiqamah dalam perubahan tersebut. – KOSMO! ONLINE














