KUALA LUMPUR – Impian jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah jauh di kejohanan badminton Indonesia Masters tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua, sebentar tadi.
Zii Jia yang baru pulih daripada kecederaan belakang dan mahu mencari rentak kemenangan semula itu terpaksa akur tewas di tangan pemain Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul menerusi pertarungan tiga set 21-15, 17-21, 8-21 dalam tempoh 57 minit.
Pada awal permainan, Zii Jia tampak garang apabila mempamerkan aksi kemas untuk memenangi set pertama 21-15, malah berpeluang cerah menamatkan perlawanan secara straight set apabila mendahului 17-15 di set kedua.
Bagaimanapun, skrip perlawanan berubah apabila Zii Jia seakan-akan ‘hilang punca’ membenarkan lawan yang berada di ranking ke-44 dunia itu mengutip enam mata berturut-turut untuk menang 21-17, sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Di set ketiga, tenaga Zii Jia dilihat semakin longlai dan gagal menyekat dominasi Panitchaphon yang tidak memberi muka sebelum menoktahkan kemenangan mudah 21-8.
Kekalahan itu pastinya perit buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu yang baru sahaja menarik nafas lega menamatkan kemarau kemenangan selama 10 bulan dengan menewaskan HS Prannoy semalam.
Kemenangan pusingan pertama itu adalah yang pertama diraihnya sejak kali terakhir melangkah ke suku akhir Masters Orleans pada Mac tahun lalu, selepas bergelut panjang dengan masalah kecederaan buku lali dan belakang.
Selepas ini, tumpuan Zii Jia beralih ke kejohanan Thailand Masters dalam misi wajib untuk mengutip mata ranking serta mendapatkan semula keyakinan diri.
Sementara itu, beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei berjaya melangkah ke peringkat suku akhir selepas menewaskan pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul–Sapsiree Taerattanachai menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-18 dalam tempoh 35 minit.
Di suku akhir, Tang Jie–Ee Wei bakal menanti gandingan campuran, Singapura, Indonesia, Terry Hee–Gloria Emanuelle Widjaja esok. -KOSMO! ONLINE














