AGAK lama juga saya tidak menaiki bot dari jeti Pulau Duyung, Kuala Terengganu. Pada pandangan saya, kemudahan di jeti bertambah baik dengan beberapa perubahan dilakukan demi keselamatan serta keselesaan pengusaha bot dan juga kegunaan orang ramai.
Trip empat hari, tiga malam kali ini saya berenam sahaja yang menyertainya bersama tekong Mat dan pembantunya Halim.
Rasanya inilah kali pertama saya menerokai lautan Terengganu ini tanpa singgah di sekitar pelantar minyak seperti kelazimannya.
Sebaik keluar dari kuala Sungai Terengganu, bot terus ‘pacak’ selama empat jam ke lokasi pertama yang berupa kawasan unjam untuk mencari umpan yang berupa ikan-ikan kecil seperti kembung, selar, selayang dan sebagainya menggunakan sabiki atau pemancing gelarkannya apollo.
Sebaik memperoleh umpan yang mencukupi, kami meneruskan perjalanan.
Sebelum tiba di lubuk, saya berniat memasang umpan secara berhanyut sebagai pembuka acara memandangkan ikan selar dan selayang hidup banyak saya peroleh.
Namun, rupanya saya sudah terlewat. Ini kerana Mail terlebih dahulu menghanyutkan umpan ikan hidupnya sebaik sahaja bot berhenti.

Tidak menunggu lama, dia mendapat rentapan daripada ikan. Seekor ikan tenggiri tewas sebagai salam perkenalan trip.
Kemudian saya menyambung menghanyutkan seekor umpan ikan selar hidup dengan harapan ada tenggiri lain yang sudi. Dalam pada menunggu itu, joran pancingan dasar juga diturunkan.
Setengah jam menunggu, tiada sambutan daripada penghuni dasar. Bot sejak dari awal tadi tidak bersauh, hanya berhanyut kerana kami memancing secara ‘seretan dasar’ atau lebih dikenali sebagai ‘bottom drift’.
Bot kemudian bergerak meninggalkan lubuk pancingan dan menuju ke lokasi baharu yang terletak tidak jauh dari situ.
Sebaik bot berada di dalam posisi berhanyut di atas lubuk, tekong akan membunyikan hon sekali, menandakan umpan perlu diturunkan.
Jika tiada apa-apa getuan dari ikan, hon akan dibunyikan sebanyak dua kali menandakan tali perlu dikarau naik. Kemudian bot akan berpindah ke lokasi baharu.
Begitulah rutin kami memancing secara bottom drift, kami hanya mengikut arahan tekong melalui bunyi hon sekali atau dua kali.
Menjelang malam barulah bot berlabuh, kaedah pancingan dasar diteruskan. Sambil menunggu ikan merentap umpan, candat juga diturunkan dan hasilnya beberapa ekor sotong menjadi habuan kami.
Ikan saiz kasar yang pertama dinaikkan malam itu ialah seekor ikan aruan tasik oleh Haji Manap dan ia dituruti dengan seekor ikan landok oleh awak-awak bot.
Selain itu, hanya sotong dan beberapa ekor ikan kerapu cilik yang sudi melayan kami sehinggalah ke pagi.
Hari kedua
Awal pagi lagi kami berpindah ke lokasi lain. Kaedah bot berhanyut di atas lubuk-lubuk berpotensi diteruskan.
Dari jauh kelihatan sayup beberapa buah pelantar minyak, tetapi untuk trip ini ia bukan destinasi pancingan kami.

Kami hanya tumpukan kawasan berkarang dan berkawah yang menjadi sarang ikan dan semuanya sudah diset di dalam GPS milik tekong.
Sudah tidak terkira beberapa kali kami turun dan menaikkan umpan semasa bot berhanyut, yang pastinya setiap lubuk pancingan ada sahaja ikan yang berjaya dipancing walaupun tidak banyak.
Apa yang pelik, di setiap lubuk hanya rakan saya berlima yang dapat ikan. Joran saya tetap pegun tidak terkutik langsung. Masuk hari kedua ini, saya masih ‘zero’ tangkapan ikan lagi.
Saya sememangnya tidak mahu berputus asa, umpan sentiasa ditukar baharu dan diturunkan di setiap lubuk yang kami singgah.
Malah, panjang perambut, saiz mata kail dan batu ladung serta cara mencangkuk umpan, semuanya saya tiru sama seperti apa yang rakan-rakan lain guna dan lakukan.
Malangnya saya tetap ‘kumpau’. Ikan langsung tidak mahukan umpan yang saya hulurkan, kutis pun tidak. Bosan menunggu membuatkan saya terus terlena.
Apa yang peliknya semasa saya tidur, Mail telah menggunakan set pancing dasar saya dan dia berjaya menaikkan beberapa ekor ikan termasuk seekor ikan merah yang sungguh kasar saiznya.
Ikan tersebut menggelupur di sebelah saya, lantas menyebabkan saya terjaga dari tidur.
Dalam terpisat-pisat kebingungan, satu per satu terjahan lawak jenaka menimpa saya daripada rakan-rakan lain.
“Orang tua-tua cakap, kena mandi tujuh jenis bunga kalau hendak buang badi kumpau ini,” seloroh Dr. Haslin.
Pulang akibat ribut
Menjelang malam hari, keadaan laut mula berubah, kelihatan alun keputihan naik di puncak ombak. Keadaan laut juga semakin kucah dengan kehadiran angin yang kuat.
Aktiviti pancingan terhenti kerana tiada apa-apa yang dapat dilakukan ketika itu.
Tekong mengambil keputusan untuk menghentikan trip atas faktor keselamatan dan bergerak balik terus ke darat.
Sepanjang perjalanan, kami ditemani badai sehinggalah sampai ke kawasan pesisir Kuala Terengganu awal subuh itu.
Alhamdulillah ribut telah sedikit reda dan kami dapat masuk ke kuala dan tiba di jeti Pulau Duyung pada pukul 9 pagi dengan selamat.
Adakah saya akan serik? Pastinya tidak kerana hobi memancing ini sudah sebati dalam hidup saya.
Biarpun badai melanda dan ‘kumpau berdarah’ sekalipun, ia akan tetap diteruskan selagi diri ini masih kuat dan bertahan.














