fbpx
Selain jam tangan mewah dan emas, wang tunai antara yang sering dirampas SPRM. - GAMBAR HIASAN

Nak beli apa duit berlonggok-longgok tu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Ketua Negara meluahkan kemurkaan baginda terhadap gejala rasuah dengan bahasa yang amat tegas, sesuatu tindakan segera perlu dilakukan.

Selama ini, jika rakyat biasa bercakap atau lebih kepada bersembang di kedai kopi, tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Jika seorang wakil rakyat bersuara di Dewan

Rakyat, suara itu pun kadang-kadang timbul dan biasanya akan tenggelam sahaja.

Masalah rasuah ini sudah lama, penulis pun sudah beberapa kali mengetengahkan mengenainya di ruangan ini. Namun, kelihatannya keadaan semakin hari semakin parah.

Rasuah ini sangat rencam dalam kehidupan kita sehari-hari. Ada rasuah yang kita – rakyat biasa tahu dan boleh nampak. Contohnya dalam penguatkuasaan premis haram atau restoran yang melanggar peraturan.

Bertahun-tahun kedai ini beroperasi, dengan dapur di kaki lima, kerusi meja memenuhi tempat letak kenderaan hingga menutup laluan, rizab jalan dipenuhi kios tambahan selain binaan separa kekal yang langsung tidak ‘diusik’ penguat kuasa.

Bila ada operasi, didapati tiba-tiba semua kedai ini tutup operasi, bercuti beberapa hari. Lain cerita pula kepada sebilangan peniaga yang baharu dua tiga minggu berniaga di tepi jalan, segala peralatan dan barangan mereka habis diangkut penguat kuasa.

Inilah yang dinamakan kita nampak dan kita faham apa yang mungkin berlaku.

Ada pula kes kita tahu tetapi kita tidak nampak. Kes seperti ini diceritakan sendiri oleh geng-geng kontraktor daripada kelas A sampai kelas F. Cerita mereka, kalau nak dapat tender mesti ada ‘pelincir’ bawah meja.

Pelincir itu pun ada macam-macam peringkat, daripada bos besar sampai kepada kerani yang bertanggungjawab mengeluarkan cek bayaran.

Kata mereka, jika tidak ada pelincir maka lebih baik cari kerja lain. Ramai lagi yang berbaris mahu mendapatkan kontrak. Jika dapat kontrak cuci longkang, potong rumput jangan lupa bahagian orang yang berada di pejabat berhawa dingin.

Kes yang paling bahaya ialah rakyat tidak tahu dan tidak nampak. Mereka yang selama ini kita yakin dan percaya dengan memegang jawatan tertinggi, terhormat dan termulia, menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tetapi rupa-rupanya terjebak sama mengutip wang haram demi mengejar kemewahan hidup.

Jati diri runtuh begitu sahaja apabila berdepan kilauan jongkong emas, deretan kereta mewah, rumah besar dan duit berlonggok-longgok di sana sini. Mereka bukan tidak sedar tetapi sekali terjebak pasti sukar untuk berundur ke belakang.

Nak dibawa ke mana duit haram itu? Nak berbelanja pun bukan boleh beli usia sampai beratus tahun atau beli kesihatan diri untuk kembali menjadi gagah dan muda remaja. Paling tidak umur 70 atau 80 tahun sebilangan besar pasti diusung ke tanah perkuburan dengan memakai sehelai kain kapan.

Allah menegaskan kepada kita melalui surah Al-Hadid (57:20) bermaksud: “Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

Surah At-Taubah (9:38) pula bermaksud: “Adakah kamu reda dengan kehidupan dunia berbanding akhirat? Padahal kesenangan dunia berbanding akhirat hanyalah sedikit.”

Tiada siapa boleh mengawal diri kita dalam masalah rasuah ini kecuali diri sendiri. Kita yang memilih jalan untuk dilalui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN