NILAI – Polis menjumpai sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam kes samun sebuah kedai emas di Pasaraya Matahari, Bandar Baru Nilai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, motosikal jenis Yamaha 150 itu ditemukan kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi kejadian pagi tadi.
Katanya, anggota Bahagian D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan dipanggil ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Negeri Sembilan dan detektif Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai turut berada di lokasi bagi menyiasat berhubung penemuan motosikal tersebut,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam semalam, dua lelaki bertopeng dipercayai warga tempatan bertindak berani merompak sebuah kedai emas di dalam pasar raya sebelum melarikan 15 dulang barang kemas bernilai RM60,000.- KOSMO! ONLINE














