NILAI – Dalam tempoh seminit 25 saat dua perompak bertopeng bersenjatakan pistol bertindak nekad melarikan 15 dulang barang kemas bernilai RM60,000 ala koboi dari sebuah kedai di dalam pasar raya di Bandar Baru Nilai, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, kedua-dua suspek lelaki disyaki warga tempatan itu memakai topi kaledar dan melarikan diri menaiki sebuah motosikal Yamaha Y15 berwarna biru.
Melalui pemerhatian di dalam sebuah video tular mendapati dua lelaki tersebut melakukan perbuatan terkutuk itu dalam tempoh masa seminit 25 saat. Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, seorang daripada suspek dipercayai bersenjatakan pistol, namun tiada sebarang tembakan dilepaskan dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Ketika kejadian, hanya terdapat dua pekerja berada di dalam kedai emas berkenaan dan tiada pelanggan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Menurutnya, suspek melarikan 15 dulang barang kemas terdiri daripada cincin, loket, gelang dan rantai serta dipercayai menggunakan beg penghantaran berwarna oren untuk membawa keluar barang rampasan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Nilai atau balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














