PETALING JAYA – Suami kepada pelakon Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya selepas selesai proses pengebumiannya di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah pada 7.35 pagi waktu tempatan, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Muhammad Kamarul berkongsi menyifatkan pusara Allahyarham sebagai lokasi istirahat terakhir isterinya.
“Tempat peristirahatan baharumu, sayang. Alamatnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, Column 23, Baris 12, Blok 8, Dahaban New Cemetery, Jeddah, Arab Saudi.
“Secara rasmi ‘berpindah’ pada pukul7.35 pagi,” katanya.
Beliau meluahkan rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan isterinya yang kini berada di tempat yang lebih bahagia sekali gus berjanji akan kembali kepada menziarahi pusara arwah.
“Saya terpaksa meninggalkanmu sekarang, sayang.. dengan rasa sakit dan duka di hatiku. Tetapi saya tahu awak berada di tempat yang lebih bahagia.
“Selamat tinggal, saya dan anak-anak akan melawatmu tidak lama lagi. Insya-Allah! Amin,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi akaun Threads @Myyrraaa, anaknya memaklumkan lebih 500 jemaah hadir untuk solat jenazah ibunya.
“Alhamdulillah ma, syukur pengakhiran mama sangat sempurna dan baik. Lebih 500 orang jemaah di tanah Jeddah yang solatkan dan mendoakan mama. Rakyat Malaysia pun ramai sangat yang mendoakan mama.
“Mama rehat di sana ya. Insya-Allah dengan doa orang ramai dan amal kebaikan di dunia, menjadi saham mama di akhirat. Alhamdulillah syukur.
“Insya-Allah kita berjumpa semula sekeluarga di syurga ya mama,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan jenazah isterinya sudah dimandikan oleh anaknya dan sudah disembahyangkan dan diimamkan oleh dirinya sendiri. –KOSMO! ONLINE














