SERDANG – Malaysia sentiasa mengamalkan dasar diplomasi terbuka dengan menjalin hubungan baik dengan semua negara, termasuk negara jiran yang kurang maju dan bukan hanya negara kaya atau berkuasa di dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan Malaysia mengendalikan persidangan itu membuktikan keupayaan negara dari segi pengurusan ekonomi, keselamatan dan layanan mesra terhadap tetamu antarabangsa
“Bila Malaysia mengendalikan persidangan ini, tiada seorang pun pengunjung luar yang pulang tanpa terkesan dengan kehebatan negara kita dari pengurusan ekonomi, keselamatan hingga layanan mesra rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Anwar turut menekankan kejayaan Malaysia mengendalikan persidangan antarabangsa itu bukan hanya bergantung pada kerajaan semata-mata, tetapi hasil kerjasama semua pihak termasuk sukarelawan, pegawai kerajaan, sektor swasta dan agensi terbabit.
Beliau turut menegaskan bahawa negara mesti aman dan stabil melalui pimpinan yang tegas dan bersih bagi memastikan Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa.
Katanya, dunia tidak akan menghormati Malaysia sekiranya negara terus dibelenggu perpecahan akibat sentimen politik, kaum atau wilayah.
“Negara mesti aman dan stabil. Kita tidak boleh terlalu terikat dengan sentimen jawatan, kementerian atau kaum. Kita mesti bekerja sebagai satu pasukan,” tegasnya.
Jelasnya, kejayaan membawa tokoh besar dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, ketua-ketua negara ASEAN, negara Arab Teluk (GCC), Afrika dan Amerika Latin membuktikan keyakinan global terhadap Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia juga memberi perhatian kepada negara jiran yang lebih memerlukan, seperti Timor-Leste.
“Kita tidak hanya berkawan dengan negara kaya dan maju, tetapi juga mengiktiraf dan membantu rakan-rakan kita yang memerlukan,” ujarnya.
Jelas beliau, pendekatan inklusif ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh perpaduan di dalam negara dan meningkatkan martabat negara di pentas antarabangsa.
“Semangat perpaduan dan kerjasama antara semua kaum, jabatan, dan lapisan masyarakat adalah kunci kepada kejayaan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE














