fbpx
SALAH satu teleskop yang digunakan oleh penyelidik angkasa lepas.

Teknologi teleskop bantu saintis kaji angkasa lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK manusia mula mendongak ke langit malam, kajian tentang alam semesta telah menjadi sebahagian daripada tamadun.

Namun, penciptaan teleskop merupakan inovasi tunggal yang paling besar kesannya terhadap cara manusia memahami angkasa lepas.

Bermula dengan teleskop cahaya tampak pada abad ke-17, teknologi itu telah berkembang pesat sehingga membolehkan ahli astronomi melihat jauh ke sudut alam semesta yang sebelum ini mustahil dicapai oleh mata manusia.

Berdasarkan perkongsian penyelidik di institusi penyelidikan astronomi dan astrofizik di Amerika Syarikat, Pusat Astrofizik Harvard dan Smithsonian, pada peringkat awal, pemerhatian angkasa hanya bergantung kepada mata kasar dan instrumen asas seperti astrolab.

“Kehadiran teleskop membolehkan manusia melihat objek yang lebih jauh serta memperincikan struktur planet, bintang dan galaksi.

“Revolusi seterusnya berlaku pada abad ke-19 dengan pengenalan fotografi yang membolehkan pemerhatian dibuat tanpa perlu melihat terus melalui kanta teleskop.

“Ini meningkatkan ketepatan dan kebolehulangan data,” katanya.

Menurut portal itu lagi, teleskop moden pada hari ini menggunakan cermin gergasi untuk memfokuskan cahaya ke arah pengesan digital, sekali gus menggantikan peranan mata manusia sepenuhnya.

Pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan pemerhatian, malah membuka peluang kepada ahli astronomi yang mempunyai masalah penglihatan untuk terlibat dalam penyelidikan.

Lebih penting, teknologi pengesan moden membolehkan pemerhatian terhadap sumber cahaya yang sangat malap dan butiran kosmik lebih kecil berbanding era terdahulu.

Kongsi artikel itu lagi, kemajuan teknologi teleskop membolehkan astronomi berkembang merentasi keseluruhan spektrum cahaya, bukan sekadar cahaya tampak.

Kebanyakan jenis cahaya di alam semesta tidak dapat dilihat oleh mata manusia, dan sebahagiannya pula dihalang oleh atmosfera Bumi.

Lokasi yang menempatkan teleskop GMT di Chile.

“Oleh itu, saintis membangunkan teleskop yang diletakkan di altitud tinggi, diangkut menggunakan belon, roket atau ditempatkan terus di angkasa lepas bagi mengelakkan gangguan atmosfera,” ujarnya.

Tambahnya, teleskop cahaya tampak kekal penting dalam penyelidikan moden kerana bintang memancarkan sebahagian besar tenaganya dalam spektrum.

Institusi seperti Pusat Astrofizik Harvard dan Smithsonian mengendalikan beberapa teleskop optik utama, termasuk MMT di Arizona dan Teleskop Magellan berkembar di Chile.

Pada masa sama, pembinaan Giant Magellan Telescope (GMT) di Chile menandakan satu lonjakan besar dalam astronomi optik.

Ia dilengkapi dengan cermin gergasi berdiameter 22 meter yang bakal menjadi teleskop cahaya tampak terbesar di dunia.

Dalam kajian tenaga tinggi pula, teleskop sinar gama dan sinar-X memainkan peranan penting. Sistem VERITAS di Arizona, misalnya mengkaji sinar gama yang terhasil daripada fenomena ekstrem seperti sisa letupan supernova dan kawasan sekitar lubang hitam.

Walaupun sinar gama tidak sampai terus ke permukaan Bumi, namun teleskop berkenaan berjaya mengesan kilauan cahaya biru yang terhasil apabila sinar tersebut berinteraksi dengan atmosfera.

Kongsinya lagi, bagi sinar-X, kebanyakan teleskop perlu ditempatkan di angkasa lepas kerana atmosfera Bumi menyekat sepenuhnya sinaran berkenaan.

“Balai Cerap Sinar-X Chandra milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang dilancarkan pada 1999 merupakan antara teleskop paling berjaya dalam sejarah. Ia membolehkan pemerhatian dari sistem suria hingga ke hujung alam semesta.

“Reka bentuk cerminnya yang unik menggunakan prinsip grazing incidence bagi memfokuskan sinar-X ke pengesan,” katanya.

Dalam spektrum radio dan submilimeter pula, teleskop bersaiz sangat besar diperlukan untuk mendapatkan imej jelas.

Oleh itu, ahli astronomi membina rangkaian teleskop yang berfungsi sebagai satu teleskop maya gergasi.

Antara contoh utama ialah Submillimeter Array di Hawaii dan ALMA di Chile. Rangkaian global itu turut menyumbang kepada kejayaan Event Horizon Telescope yang menghasilkan imej pertama lubang hitam. Ini membuktikan bahawa teleskop moden kini menjadi tulang belakang kepada penyelidikan angkasa pada abad ke-21.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN