fbpx
MOHD. ROHAIZAD memberikan susu khas kepada isterinya menggunakan tiub di rumah ibu saudara mereka di Kampung Padang Enggang, Kota Bharu kelmarin. – ROHANA MOHD. NAWI

Tak mampu bayar sewa, tumpang rumah ibu saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang lelaki mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberi perhatian penuh kepada isterinya yang terlantar akibat sembilan jenis pe­nyakit sejak lebih sebulan lalu.

Keadaan itu menyebabkan Mohd. Rohaizad Ariffin, 44, dan isterinya, Rohaizad Abd. Rahim, 37, me­numpang di rumah ibu saudara di Kampung Padang Enggang di sini selepas tidak mampu membayar sewa rumah.

Kata Mohd. Rohaizad, keka­ngan kewangan ketika ini membuatkan dia ‘menebalkan’ muka untuk meminta belas ihsan orang ramai bagi membeli keper­luan isteri terutamanya susu khas.

“Isteri menghidap angin ahmar, diabetes sehingga dua jari kaki kirinya dipotong, darah tinggi, kolesterol tinggi, buah pinggang, anemia, lepuh berna­nah pada lengan, luka pada badan dan penyakit saraf.

“Sebelum ini, saya membantu rakan berniaga air balang de­ngan pendapatan RM50 sehari. Apabila isteri mula tenat kira-kira sebulan lalu, saya berhenti kerja.

“Kami berkahwin pada 2019 dan belum dikurniakan zuriat. Isteri sebelum ini bekerja di sebuah syarikat sebelum disahkan menghidap diabetes,” katanya.

Rohaizad sebelum ini dirawat di wad Hospital Raja Pe­rempuan Zainab II sebelum dibenarkan pulang minggu lalu.

Menurutnya, dia kini tidak mampu membeli susu dan lampin pakai buang.

“Isteri bergantung kepada susu khas dijual pada harga RM8 sebotol dan perlu minum empat botol sehari menggunakan tiub.

“Selain susu, lampin pakai buang dan tisu basah keperluan harian untuk isteri. Jika dicampurkan semua, saya perlukan RM3,000 sebulan untuk membeli keperluan itu ,” ujarnya.

Prihatin dengan nasib pasa­ngan itu, Pengerusi Volunteer i Care Kelantan, Muhammad Afiq Aiman Sukry menyampaikan sumbangan susu khas dan beberapa keperluan lain.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Rohaizad di 013-787 8212 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional miliknya, 1413041000027656.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI