BANGI – Hairkunst terus mengukuhkan jenama dalam industri kecantikan tempatan apabila melancarkan Hairkunst Hijabis Luxe, salun muslimah premium berkonsep eksklusif di Bandar Baru Bangi di sini.
Pembukaan cawangan kedua ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menawarkan perkhidmatan kecantikan bertaraf tinggi selaras dengan prinsip syariah serta keperluan wanita muslimah moden.
Rakan kongsi Hairkunst, Yuskiahniza Md Yusof berkata, idea tersebut tercetus daripada keperluan sebenar wanita muslimah yang sering berdepan kekangan mendapatkan rawatan rambut dalam suasana selesa dan patuh syariah.
“Wanita muslimah bertudung memerlukan ruang yang benar-benar privasi, dikendalikan oleh wanita dan memahami sensitiviti aurat. Daripada pemilihan produk, warna, rawatan keratin, rebonding hingga ke bahan ramuan, semuanya kami teliti agar bebas was-was dan selari dengan prinsip syariah.
“Hairkunst Hijabis Luxe dibangunkan sebagai satu solusi menyeluruh yang bukan sahaja menitikberatkan kecantikan, malah memberi ketenangan emosi dan keyakinan kepada pelanggan tanpa perlu berkompromi dengan pegangan agama,” katanya pada majlis pembukaan salun itu baru-baru ini.
Hairkunst Hijabis Luxe menggunakan sehingga 95 peratus produk berasaskan vegan, termasuk pewarna rambut vegan telus air, rawatan rambut organik, keratin dan ‘rebonding’.
Semua alatan yang digunakan pula terdiri daripada jenama profesional bertaraf antarabangsa seperti Dyson dan GHD.
Bagi mengekalkan kualiti perkhidmatan, hanya ‘senior stylist’ berpengalaman lebih 10 tahun ditugaskan di cawangan ini.
Salon ini turut menyediakan bilik rawatan peribadi, ruang VIP manicure dan pedicure, surau, kemudahan mengambil wuduk serta ruang menunggu khas untuk suami dan ahli keluarga. -KOSMO! ONLINE














