PETALING JAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti tersebut tidak pernah memberikan mandat secara rasmi kepada mana-mana pimpinan parti untuk berunding dengan UMNO.
Beliau berkata, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
“Saya ingin menegaskan bahawa sebarang perbincangan rentas parti yang melibatkan sebarang bentuk kerjasama antara Bersatu dan UMNO hendaklah diadakan mengikut saluran rasmi parti dengan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.
“Perbincangan hendaklah diadakan secara telus dengan mengambil kira semua faktor termasuk pandangan rakan-rakan parti anggota Perikatan Nasional dan kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini mengenai perbincangan yang telah diadakan dengan pimpinan Bersatu.
Muhyiddin berkata, perbincangan yang dikatakan untuk mengusahakan penyatuan Melayu itu telah menimbulkan persoalan mengenai pendirian Bersatu mengenainya.
“Saya ingin mengambil sikap terbuka dalam hal ini.
“Bersatu akan menimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO setelah mendapat input yang lebih jelas mengenainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














