fbpx
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cadang untuk mewujudkan satu kolaborasi agung melibatkan parti-parti politik dan NGO Melayu serta Islam mendapat sambutan positif daripada perwakilan sempena Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025, hari ini.

UMNO cadang kolaborasi agung Melayu-Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cadangan Presiden UMNO untuk mewujudkan satu kolaborasi agung (grand collaboration) melibatkan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta Islam mendapat sambutan positif daripada perwakilan sempena Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025, hari ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan berkenaan bukan satu bentuk koalisi politik dan tidak bertujuan menggugat atau menggantikan Kerajaan Perpaduan Madani yang sedang mentadbir negara.

Menurut beliau, kolaborasi itu sebaliknya berperanan sebagai ruang musyawarah dan dialog, khusus bagi membincangkan isu-isu bersama berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.

“Perwakilan menyatakan sokongan secara jelas apabila Presiden mengemukakan cadangan ini, termasuk melalui sokongan terbuka sebanyak tiga kali di dalam dewan persidangan.

“Ia menunjukkan kesepakatan bahawa ruang perbincangan seperti ini perlu diadakan secara matang dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azalina berkata, realiti semasa negara yang berdepan isu sensitif termasuk 3R (agama, kaum dan institusi diraja) menuntut kewujudan ruang dialog yang jujur dan terkawal bagi mengelakkan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jelas beliau, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk orang Melayu bersatu demi kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan UMNO memikul tanggungjawab itu secara serius kerana parti berkenaan mempunyai legitimasi, autoriti serta kedudukan dalam kerajaan untuk membawa agenda kepentingan Melayu dan Islam ke dalam kerangka pentadbiran negara secara sah dan berkesan.

Tambahnya, usaha tersebut turut melibatkan pandangan daripada NGO, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pelbagai pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam dalam negara majmuk.

“UMNO kekal komited kepada kestabilan negara, perpaduan rakyat dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan MADANI, di samping memastikan amanah terhadap agama, bangsa dan negara terus dipelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN