KAMPAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya merampas 168 bahagian hidupan liar yang disyaki ekor buaya untuk dijadikan juadah di sebuah premis perniagaan barangan sejuk beku yang terletak di Kampar dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 1/2026 pada pukul 4 petang semalam.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, dalam operasi tersebut, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia awal 30-an yang disyaki terlibat dalam kegiatan mengeksploitasi bahagian hidupan liar tanpa lesen di sebuah premis perniagaan barangan sejuk beku yang terletak di Kampar, Perak.
“Pemeriksaan lanjut terhadap premis berkenaan telah menjumpai sebanyak 168 bahagian hidupan liar yang disyaki ekor buaya dengan anggaran nilai RM20,000,” katanya di Kampar hari ini.
Katanya lagi, hasil siasatan awal mendapati kesemua bahagian hidupan liar tersebut dipercayai diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal yang beroperasi di Puchong, Selangor, bagi tujuan pasaran sekitar daerah Kampar.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mendapatkan bekalan bahagian hidupan liar tersebut daripada pembekal, sebelum diagihkan kepada restoran-restoran di sekitar Kampar mengikut permintaan.
“Hasil siasatan awal juga mendapati bahawa premis perniagaan berkenaan dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak tahun 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE














