KLANG – Seorang pemandu lori tipper ditahan selepas aksinya menukar lorong secara melulu hampir meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Parang menghala Pelabuhan Klang di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamal Arifin Aman Shah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.49 petang kelmarin dan penahanan suspek berusia 29 tahun itu dilakukan pukul 5.20 petang semalam sekitar daerah ini.
“Berdasarkan rakaman itu, menunjukkan lori dipandu di lorong kiri jalan secara tiba-tiba mengubah haluan masuk ke lorong kanan. Ia seterusnya melanggar motosikal yang berada di belakangnya sehingga menyebabkan penunggangnya hampir terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil memberi kerjasama dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Syahid Salahudin di talian 011-35753557,” katanya. – KOSMO! ONLINE














