SEREMBAN – Hajat seorang mualaf untuk memperbaiki solatnya dengan membeli sejadah pintar tidak kesampaian apabila dia maut bersama anak perempuannya di Kilometer 10, Lebuh Raya Seremban–Port Dickson semalam.
Ketika kejadian pada pukul 12.15 tengah malam itu, Nur Syakilla Agnes Abdullah, 40, menunggang sebuah motosikal jenis SYM bersama dua anaknya sebelum terlibat nahas dengan sebuah kereta Proton Preve.
Seorang lagi anak lelakinya berusia 12 tahun itu mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd. Amrul Yazid Anuar berkata, ketika kejadian, pemandu kereta berusia 46 tahun bersama isterinya sedang dalam perjalanan dari Port Dickson menghala ke Seremban dan memandu di lorong kiri lebuh raya tersebut.
“Secara tiba-tiba motosikal yang ditunggang seorang wanita berusia 40 tahun bersama dua anaknya berumur 12 dan 14 tahun, telah memasuki lorong di laluan pemandu kereta itu dari lorong kecemasan.
“Keadaan itu menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal mereka,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan anak perempuannya yang berusia 14 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu dan penumpang kereta hanya cedera ringan. Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat,” katanya.
Menurut anak sulung mangsa, Princess Chriss Angel anak Alexander, 22, ibunya baru memeluk Islam lima tahun lalu dan mahu menunaikan solat dengan lebih baik .
“Ibu kata dia nak solat, dia nak beli sejadah yang ada bacaan. Dia nak beli tapi tak sempat. Itu hajat ibu selain bulan ini, ibu sering mahu mengumpulkan kesemua tujuh beradik kami untuk berjalan-jalan.
“Ikutkan kami memang tak ada kereta, motosikal sahaja yang ada, tapi ibu mahu semua anak-anaknya jalan bersama.
“Semua adik-beradik saya pergi ke Port Dickson bagi mencari ketam dengan konvoi bermotosikal kecuali saya yang berada di rumah kerana sedang hamil lima bulan,” katanya di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.














