fbpx
Osman menunjukkan pokok kelapa yang dirosakkan beruang matahari ketika ditemui di Kampung Durian Mentangau semalam.

‘Nak keluar rumah pun kami tak berani’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Kira-kira 1,300 penduduk Kampung Durian Mentangau, di sini bimbang dengan kemunculan seekor beruang matahari yang berkeliaran dan merosakkan tanaman kelapa di kebun sejak dua minggu lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Durian Mentangau, Mazlan Mansor berkata, dia pernah terserempak dengan haiwan liar itu pada Khamis lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Haiwan itu secara tiba-tiba melintas jalan. Seumur hidup, ini kali pertama saya terserempak dengan beruang matahari. Mujur naik kereta, kalau motosikal mungkin saya terdedah kepada bahaya,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Seorang lagi penduduk, Mahadi Mohamad, 44, memberitahu, haiwan liar itu menceroboh kebun dan memakan umbut kelapa hampir setiap malam dengan kejadian terbaharu beberapa pokok kelapa berhampiran Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau dirosakkan semalam.

Pekebun, Osman Ismail, 66, pula mendakwa, dia mengalami kerugian lebih RM1,000 selepas empat batang pokok kelapa miliknya musnah dirosakkan haiwan liar tersebut.

“Sudah dua kali kebun kelapa saya diceroboh beruang matahari dalam masa seminggu. Harap sangat haiwan itu dapat ditangkap segera. Kami (penduduk) bukan sahaja takut masuk kebun, nak keluar rumah pun tak berani,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, perangkap dipasang pada 7 Januari lalu dan pihaknya percaya beruang matahari tersebut tersesat dari Hutan Simpan Bukit Gong berhampiran.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN