fbpx
Keadaan sebuah universiti swasta di Bukit Damansara yang terlibat kejadian letupan gas baru-baru ini.

Letupan gas universiti: Mangsa alami pendarahan otak, patah pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dua penuntut sebuah universiti swasta di Bukit Damansara masih menerima rawatan hospital susulan insiden letupan gas sistem pendingin hawa yang berlaku, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seorang daripada penuntut terbabit berusia 19 tahun kini dirawat di High Dependency Ward (HDW), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, setakat hari ini mangsa masih belum sedarkan diri dan berada di bawah pemantauan rapi pihak perubatan.
“Mangsa mengalami koma, pendarahan dalam otak serta retak pada tengkorak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi penuntut berusia 18 tahun mengalami patah pinggang dan telah dikejarkan ke HKL.

Katanya, mangsa dibenarkan keluar dari hospital itu pada 13 Januari sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Pantai Kuala Lumpur pada hari yang sama.

“Pelajar terbabit selesai menjalani pembedahan gigi pada 15 Januari dan kini berada dalam keadaan stabil. Mangsa dijadualkan menjalani pembedahan pinggang pada pukul 2 petang esok,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Fadil memaklumkan seorang penyelia berusia 54 tahun yang mengalami kecederaan melecur serta serpihan besi di dalam badan telah selesai menjalani pembedahan di HKL.

“Mangsa sudah sedar, berada dalam keadaan stabil dan kini dipantau rapi doktor bagi rawatan susulan,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kantin warga Indonesia berusia 22 tahun dilaporkan berada dalam keadaan baik dan telah dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh, semalam.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi, Isnin lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan individu lain cedera.

Mangsa yang maut merupakan pelajar latihan industri di universiti swasta berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI