SHAH ALAM – Pihak berkuasa mendedahkan terdapat tekong dan awak-awak warga Indonesia yang mencari rezeki sebagai nelayan di negara ini terlibat dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia.
Mereka dipilih menjadi tali barut kerana mahir dalam selok-belok perairan negara dan muka bumi Malaysia terutama di kawasan Pantai Barat Selangor selain mempunyai hubungan rapat dengan sindiket penyeludupan dari negara asal.
Difahamkan, kegiatan haram itu dipercayai masih aktif ekoran terdapat permintaan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perladangan negara ini ketika pandemik Covid-19.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, modus operandi menggunakan nelayan asing yang bekerja di negara ini mula dikesan tahun lalu.
Menurutnya, pergerakan mereka dikaburi dengan alasan untuk menangkap ikan di tengah laut dalam tempoh sekurang-kurangnya dua hari.

“Sindiket penyeludupan PATI dari Indonesia yang juga tekong laut akan menjadikan nelayan-nelayan warga asing yang telah lama bekerja di Malaysia sebagai tali barut mereka.
“Nelayan yang bersengkokol dengan sindiket terbabit akan menggunakan set radio sebagai alat komunikasi dan mereka akan memaklumkan kepada tekong laut apabila mahu turun ke laut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Muhammad berkata, ketika di tengah laut, nelayan terbabit akan dihubungi tekong laut yang membawa PATI sebelum memindahkan migran dalam kuantiti kecil antara tiga hingga empat orang ke dalam bot nelayan terbabit.
Katanya, PATI tersebut kemudian akan menyamar pula sebagai nelayan sehingga mereka mendarat di jeti-jeti negara ini.
“Lokasi pendaratan paling popular di Selangor adalah di pesisir pantai Sabak Bernam, Klang dan Kuala Selangor, manakala di Johor melibatkan Johor Bahru, Pontian dan Kota Tinggi.
“Majoriti tekong darat di negara ini juga adalah warga Indonesia yang telah lama menetap di Malaysia dan mempunyai pengaruh seperti menjadi ketua di sesebuah kawasan.
“Sindiket penyeludupan PATI ini turut dibantu rakyat tempatan yang bertindak menjadi transporter dan menyediakan rumah transit serta ejen pekerja asing,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya telah menangkap seramai 30 tekong termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun pada tahun lalu dengan kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Kerja sebagai tekong ini pendapatannya lumayan dan risiko pula rendah. Ini kerana tugas mereka cuma mengatur serta menghantar PATI di sesuatu lokasi yang ditetapkan selepas mendapat bayaran sebelum beredar tanpa mempedulikan jika migran terbabit ditangkap.
“Masalah penyeludupan ini tidak akan selesai selagi perkhidmatan tekong atau awak-awak bot warga asing masih digunakan dalam sektor perikanan negara selain tiada kawalan ketat terhadap mereka,” ujarnya.-K! ONLINE














