ROM – Legenda MotoGP, Valentino Rossi menuntut pasukan miliknya, Pertamina Enduro VR46 Racing Team supaya segera bangkit memburu keputusan positif menjelang saingan musim 2026.
Biarpun menggunakan jentera Ducati yang mendominasi grid perlumbaan musim lalu, VR46 menutup tirai 2025 dengan rekod mengecewakan apabila muncul satu-satunya pasukan Ducati gagal memenangi sebarang perlumbaan Grand Prix (GP).
Prestasi mereka jauh ditinggalkan pasukan satelit lain seperti Gresini Racing yang cemerlang dalam kempen musim lalu.
“Kami sangat bertuah kerana sepanjang MotoGP, kami sentiasa berlumba menggunakan jentera Ducati. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia adalah motosikal terbaik di grid.
“Fakta ini sepatutnya memberi peluang cerah untuk menang. Malangnya, ia tidak berlaku tahun lalu. Jadi, kami perlu tingkatkan tahap dan perbaiki prestasi kerana musim lalu terlalu banyak turun naik (prestasi ),” kata Rossi.
Musim 2026 kritikal buat dua pelumba VR46, Franco Morbidelli dan Fabio Di Giannantonio yang perlu membuktikan mereka layak kekal di grid MotoGP.
Musim lalu, Di Giannantonio disokong jentera spesifikasi kilang GP25 sekadar meraih tiga podium dan mengumpul 262 mata, jauh ketinggalan berbanding juara dunia, Marc Marquez.
Biarpun Morbidelli meraih beberapa podium awal, musimnya dicemari dengan insiden di litar sehingga menerima amaran keras daripada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) yang mengancam menggantungnya jika terus melakukan kesalahan.
“Menjadi pasukan sokongan kilang daripada Ducati adalah sangat penting. Ia akan datang dengan banyak tekanan, tetapi jika tiada, anda tidak boleh menghasilkan apa-apa. Ini akan menjadi tahun sangat penting buat kami,” jelas Pengurus VR46, Pablo Nieto. – AGENSI














