LONDON – Chelsea masih memiliki talian hayat untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) meskipun tewas 2-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stamford Bridge awal pagi semalam.
The Blues masih berpeluang untuk melayakkan diri ke pentas final di Stadium Wembley pada Mac nanti memandangkan kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan terakhir dalam aksi timbal balik di Stadium Emirates bulan depan.
Pengurus Chelsea, Liam Rosenior mengakui tetap gembira dengan keputusan itu, lebih-lebih lagi anak-anak buahnya menunjukkan semangat juang cukup tinggi meskipun diberi tekanan hebat oleh The Gunners.
“Bagi saya, perlawanan ini boleh dianggap separuh masa pertama. Saya tetap gembira dengan aksi dipamerkan semua pemain, mereka menunjukkan komitmen cukup tinggi sepanjang perlawanan.
“Perlawanan sangat terbuka tetapi saya agak kecewa dengan gol pertama kerana bolos menerusi sepakan sudut. Begitu juga dengan gol ketiga kerana ketika itu kami sedang cuba untuk menyamakan kedudukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan penjaga gol, Robert Sanchez yang dianggap melakukan dua kesilapan besar sehingga membolehkan Arsenal menjaringkan gol dan meletakkan Chelsea dalam situasi sukar.
“Rob (Sanchez) merupakan seorang penjaga gol yang sangat baik kerana dia ada menyelamatkan beberapa percubaan ketika kedudukan 3-1. Banyak perkara perlu diperbaiki tetapi saya gembira dengan karakter ditunjukkan pemain,” ujar Rosenior. – AGENSI














