KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan lesen kebenaran bagi menjalankan aktiviti mendulang emas bermula Rabu depan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, rakyat yang memiliki lesen itu boleh menjalankan aktiviti secara sah di sungai-sungai yang diwartakan.
Katanya, setakat ini, kerajaan negeri menerima sebanyak 332 permohonan bagi fasa pertama lesen mendulang emas. Daripada jumlah itu, 178 pemohon sudah membuat pembayaran, manakala bakinya dalam proses penelitian.
“Alhamdulillah, sambutan terhadap aktiviti mendulang emas amat menggalakkan. Semua pemegang lesen diingatkan agar sentiasa mengikuti prosedur ditetapkan yang dikepilkan bersama dokumen kelulusan lesen masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, pegawai penguat kuasa akan membuat pemantauan terhadap aktiviti tersebut. Pendulang emas berlesen juga bebas untuk mendulang di lokasi yang diwartakan, namun tidak boleh mengamalkan budaya ‘cop’ kawasan.
“Lokasi yang dibenarkan adalah tanah kerajaan dan ia adalah peluang kepada semua rakyat Kelantan. Semua pihak perlu mematuhi syarat-syarat tersebut termasuk aspek keselamatan kerana ia ditetapkan bagi menjamin keselamatan orang awam semasa mendulang emas,” ujarnya.
Lima kawasan sungai diwartakan bagi fasa pertama adalah sepanjang 4 kilometer (km) Sungai Tadoh di Jeli, masing-masing 2 km di Sungai Gentiang (Kuala Krai), Sungai Galas (Gua Musang), Sungai Bertam (Tanah Merah) dan Sungai Pergau (Jeli).- KOSMO! ONLINE














