fbpx
Lokasi kejadian samun membabitkan seorang penunggang motosikal di Pandan Perdana, Isnin lalu. – FOTO IHSAN POLIS

Samun parang di Pandan Perdana, lelaki ditahan kurang 5 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG JAYA – Seorang lelaki ditahan polis kurang lima jam selepas disyaki menyamun seorang penunggang motosikal dengan menggunakan sebilah parang di Pandan Perdana, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang di bawah Blok A, Flat 700, Jalan Perdana 9/10, Pandan Perdana.

Menurut beliau, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Future berada di lokasi berkenaan bagi mengutip hutang pelanggan sebelum dihampiri seorang lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang.

“Suspek telah merampas sebuah telefon bimbit jenis Samsung A05 milik mangsa sebelum melibas parang ke arah mangsa, namun mangsa berjaya mengelak dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan motosikal mangsa bersama beberapa barangan lain termasuk salinan pasport, buku hutang serta wang tunai berjumlah RM100.

Susulan laporan yang diterima, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan pada pukul 9.20 malam hari yang sama.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak dikehendaki,” ujarnya.

Menurut Khairul Anuar, suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun dengan menggunakan senjata parang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI