fbpx
TANGKAP layar video kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah premis perniagaan di Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City, Kulai, kelmarin.

Lelaki China ditahan pasang bendera Malaysia terbalik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULAI – Seorang lelaki warga China ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah premis perniagaan di Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, insiden itu dikesan pada pukul 4 petang semalam menerusi satu hantaran di Facebook yang memaparkan bendera Malaysia dipasang secara songsang.

Katanya, susulan penularan video tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai digerakkan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan awal membawa kepada penahanan lelaki warga China berusia 38 tahun yang dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian tersebut. Kita merampas Jalur Gemilang sebagai bahan bukti untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017) berkaitan penyalahgunaan lambang rasmi negara yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan tidak senonoh di tempat awam dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/1963 atas kesalahan melanggar syarat pas atau permit. Lelaki asing itu direman tiga hari sehingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN