PELUMBA basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bertekad kembali ke tahap kompetitif secepat mungkin apabila menyifatkan tahun 2026 amat penting buat dirinya dengan dua temasya besar menanti iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
Walaupun baru tiga bulan menjalani pembedahan lutut kanan pada hujung September lalu, jaguh pecut negara itu membuat penampilan mengejut di Kejohanan Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) di Velodrom Nasional Nilai kelmarin.
Keputusan untuk kembali ke velodrom lebih awal adalah penting bagi mendapatkan semula ‘rasa’ perlumbaan kerana pelumba Johor itu mahu memastikan prestasi semasanya tidak terjejas biarpun pakar perubatan menjangkakan dia cergas sepenuhnya pada Mac nanti.
“Pasukan pun tidak jangka saya akan berlumba minggu ini. Tetapi saya beritahu jurulatih, kalau boleh dapatkan semula perasaan perlumbaan lebih awal kerana saya tidak mahu tiba-tiba terus bersaing di pentas kompetitif. Ketika ini saya masih dalam fasa rehab lagi.
“Saya tidak lagi rasa sakit dan boleh berkayuh seperti biasa. Ini adalah perkara paling penting dalam fasa pemulihan saya,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Shah Firdaus turut mendedahkan bahawa perbezaan kekuatan antara kaki kanan dan kirinya kini telah berkurangan daripada 50 peratus kepada 30 peratus, menunjukkan proses pemulihan yang positif.
“Selepas perlumbaan Kelas 1, saya ada jumpa doktor dan kami dalam fasa membina kekuatan kaki kanan. Sebab beza antara kaki kanan dan kiri, sebelum ini hampir 50 peratus hilang kuasa. Sekarang kami dah mula bina balik dan hanya tinggal 30 peratus, jadi sudah ada peningkatan.
“Saya jadikan perlumbaan ini sebagai sesi latihan. Dari segi catatan masa, saya di landasan yang betul. Menjelang Piala Dunia nanti, adalah realistik untuk saya catat masa bawah 10 saat,” jelasnya.
Menjelang tahun 2026 yang padat, Shah Firdaus meletakkan sasaran untuk kembali ke tahap kompetitif sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.
“Tahun 2026 adalah tahun penting dengan Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Hujung tahun pula kelayakan Olimpik akan bermula. Jadi, saya mahu proses peningkatan prestasi bermula dari sekarang. Saya tak boleh tunggu,” tambahnya.














