fbpx
Putri Qisya bersama neneknya, Roswati Zainol, 52, ketika ditemui di Jerlun pada semalam.

‘Qisya mimpi arwah umi siapkan barang masuk MRSM’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERLUN – “Qisya mimpi arwah umi dan dua adik temankan beli barang untuk masuk MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), umi paling sibuk. Masa itu Qisya nampak wajah umi sangat jelas.”

Demikian kongsi Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 13, yang kehilangan ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam Sungai Korok, dekat sini pada Julai tahun lalu.

Menurut Putri Qisya, walaupun umi ‘singgah’ sebentar dalam mimpinya itu, dia rasa tenang kerana dapat menunaikan impian arwah ibunya untuk belajar di MRSM.

“Mimpi itu sekejap sahaja sebelum terjaga apabila tok umi (nenek) kejutkan untuk solat subuh. Walaupun hanya mimpi, saya dapat rasakan umi dan walid (bapa) bangga kerana dapat ke MRSM. Itu adalah impian umi,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di sini semalam.

Katanya, dia bersyukur kerana banyak pihak yang membantunya sejak tragedi tersebut sehingga saat dia mahu melangkah masuk ke MRSM Kubang Pasu, dekat sini pada esok.

“Alhamdulillah segala keperluan sudah ada yang mana banyak pihak datang bantu, Qisya sangat menghargainya. Qisya akan belajar bersungguh-sungguh demi arwah umi dan walid serta ahli keluarga lain yang pastinya menaruh harapan tinggi kepada Qisya.

“Selain itu juga Qisya mahu balas jasa semua yang hulur bantuan. Di asrama nanti, Qisya harap dapat jumpa kawan-kawan yang baik,” katanya yang mahu menjadi seorang juruterbang.

Putri Qisya merupakan anak sulung kepada pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat dan Nurul Hidayah yang ditemukan lemas di Sungai Korok pada 7 Julai tahun lalu.

Turut maut dalam kejadian itu ialah empat adik Putri Qisya iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI