fbpx
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memalsukan kad pengenalan. Foto ARIF HAMIZAN MISKON/KOSMO!

12 tahun guna MyKad baru kantoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan salinan kad pengenalan milik orang lain lebih 12 tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Adi, 47, yang bekerja sebagai pengayuh beca itu turut menggunakan MyKad berkenaan bagi mendapatkan lesen beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada 2023 dan kad Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Majistret, Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati tanpa kuasa yang sah atau sebab yang munasabah menggunakan salinan Kad pengenalan orang lain, lelaki berusia 46 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira pukul 12 tengah hari pada 8 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(e), Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan masih menanggung isteri serta tiga orang anak yang masih bersekolah.

Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Melaka, Mohd. Nasrom Mohd. Yusof bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 8 Januari 2026. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN