SHAH ALAM – Lebih 800,000 murid dan pelajar baharu di tahun 1 dan tingkatan 1 memulakan sesi persekolahan di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia merangkumi masing-masing lebih 400,000 orang bagi kedua-dua pelajar tahun pertama di sekolah rendah dan menengah itu.
Kata beliau, pihaknya juga berharap ibu bapa mengambil tanggungjawab dalam urusan dokumentasi anak-anak mereka bagi mengelakkan keciciran pendidikan.
“Kena daftar dan usahakan. Saya ingat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga ada komitmen itu dalam memastikan isu pendaftaran dapat disegerakan,” katanya pada sidang akhbar majlis pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Ladang Regent Elmina di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, pihak pentadbir sekolah juga perlu cakna dalam meneliti, menyemak dan memastikan anak-anak mereka ke sekolah selepas melakukan pendaftaran sebelum ini.
Tegasnya, Program Ziarah Cakna perlu disegerakan kerana isu keciciran ini sentiasa kita tangani sepanjang masa.
“Ini adalah program berterusan supaya tidak keciciran di rekod kita dan ada tanggungjawab di peringkat pentadbir, ibu bapa dan komuniti dalam tangani isu ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kerajaan Selangor yang memberikan tumpuan penuh terhadap kerja-kerja baik pulih empat buah sekolah yang rosak dilanda ribut di Sijangkang.
“Tiga sekolah telah bermula sesi persekolahan hari ini dan satu sekolah sahaja beroperasi pada Februari nanti.
“Saya ucapkan terima kasih kerana keempat-empat sekolah ini telah dibaiki lebih awal dan ‘superb’ kerja-kerja dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














