PETALING JAYA – Seorang lelaki berang dengan tindakan individu dipercayai warga asing yang masuk ke dalam tangki air untuk mencuci sayur-sayuran.
Menerusi hantaran di Facebook, individu itu dilihat berada dalam tangki air sambil membersihkan bayam, sekali gus membuatkan orang ramai mempersoalkan mengenai tahap kebersihan sayur tersebut.
“Kepada semua penggemar kangkung dan bayam, lihatlah sendiri. Jangan sesekali makan bayam atau kangkung beli di pasar borong,” katanya pada ruang kapsyen.
Lelaki itu turut meluahkan rasa jijik, selain mempersoalkan tahap kesedaran dengan mengugut warga asing tersebut supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
Perkongsian itu meraih pelbagai reaksi netizen termasuk ada yang mempersoalkan mengenai tahap kebersihan pekerja warga asing.
“Dulu ada kes warga asing meludah dalam botol air ketika proses pembuatan dalam kilang. Risau dengan kebersihan produk dengan ramai warga asing bekerja,” komen @DandBeltsazar.
“Sepatutnya terus ambil tindakan dan buat laporan polis. Boleh cari majikan dia, biar mereka faham nak kerja macam mana (prosedur),” cadang @MannMann.
“Mohon pihak berkuasa pantau tahap kebersihan pekebun seperti ini. Lama-lama boleh jadi penyakit,” balas @HadiSaid. –KOSMO! ONLINE














