TAPAH – Lambakan durian tempatan termasuk diimport dari Thailand antara faktor pendapatan sebahagian pemilik kebun yang juga penduduk Orang Asli terjejas teruk sehingga 60 peratus berbanding musim lalu.
Menurut Tok Batin Kampung Batu 6 Jalan Pahang, Fadzil Arom, 51, harga durian bukit kini dijual pada harga RM1 hingga RM2 sekilogram (kg).
“Musim paling teruk walaupun hasil durian agak memberangsangkan. Durian gred B kini dijual sekitar RM2 sekilogram, manakala gred C pula RM1 sekilogram.
“Dulu harga durian bukit ini pernah mencecah RM10 hingga RM12 sekilogram dan paling rendah pun sekitar RM3 sekilogram, itu pun kami masih boleh bersyukur,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 6, kelmarin.
Katanya, sebelum ini, ada pemilik kebun durian yang mampu meraih pendapatan sehingga RM30,000 hingga RM40,000 setiap kali musim.
“Namun sekarang nak dapatkan RM20,000 bagi musim ini mustahil. Kebanyakan penduduk kampung menjual hasil durian terus kepada peraih kerana kaedah itu paling mudah dan cepat. Lambakan durian tempatan dan yang diimport dari Thailand menyebabkan harga menjadi rendah,” katanya.
Ujarnya, durian bukit datang dengan pakej lengkap iaitu mempunyai rasa pahit, manis, pekat dan likat selain raja buah itu boleh disimpan selama dua hingga tiga hari serta tidak muak dimakan dalam kuantiti banyak berbanding durian jenis premium.
“Harapan kami, jika boleh, import durian dikurangkan semasa musim buah tempatan supaya hasil tidak menjadi lambakan. Kami berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dapat membantu melalui penjenamaan khusus durian bukit bagi menstabilkan harga di pasaran,” katanya.













