PETALING JAYA – Malaysia Airlines mengumumkan penyambungan semula penerbangan dari Kuala Lumpur ke Chengdu, mengukuhkan komitmen jangka panjangnya terhadap pasaran Greater China sambil menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Laluan tersebut mendapat sambutan baik pasaran dengan penerbangan sulung MH526 dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu Tianfu (TFU) pada 9 Januari 2026, mencapai faktor muatan mengagumkan sebanyak 91 peratus pada penerbangan keluar.
Menurut Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan, dengan penambahan Chengdu, Malaysia Airlines kini menawarkan perkhidmatan ke tujuh destinasi di seluruh Greater China, mencerminkan keyakinan berterusan dalam pasaran.
“Beroperasi sehingga tujuh kali seminggu, laluan ini dijangka menyokong permintaan perjalanan dua hala yang semakin meningkat dan mengukuhkan hubungan perniagaan serta percutian, menawarkan penumpang sambungan yang lancar melalui Kuala Lumpur ke destinasi di seluruh Asean, Asia Selatan dan Australasia.
“Ia sejajar dengan lanjutan pengaturan perjalanan bebas visa antara Malaysia dan China, membolehkan penginapan yang lebih lama serta menggalakkan aliran perjalanan yang lebih besar antara kedua-dua negara,” katanya.
Pelancaran semula laluan berkenaan juga menonjolkan kekuatan hubungan Malaysia-China yang lebih luas merentasi ekosistem MAG, susulan operasi kargo khas MASkargo baru-baru ini yang mengangkut panda gergasi baharu dari Chengdu ke Kuala Lumpur di bawah perjanjian pemuliharaan dua hala yang diperbaharui. – KOSMO! ONLINE














