PENDEKATAN menyeluruh oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi menangani isu buli di Institusi Pendidikan Mara khususnya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memperlihatkan perubahan ketara.
Ia boleh dilihat apabila berlaku penurunan drastik bagi kes buli di MRSM, iaitu kesan positif daripada usaha Mara dalam menyediakan tempat belajar yang selamat dan aman kepada pelajar.
Pendekatan tanpa kompromi terhadap bentuk buli ini merupakan usaha memutuskan rantaian hingga ke akar umbi, lebih-lebih lagi ibarat tradisi ‘halal’ berlaku sejak sekian lama.
Wartawan Kosmo! Ahad, Siti A’isyah Sukaimi menemu bual Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang kini popular dengan panggilan ‘Daddy Mara’ berhubung ketegasannya terhadap isu buli di MRSM.
KOSMO! AHAD: Masih adakah pihak yang menyorok kes-kes buli pelajar di bawah institusi pendidikan Mara?
ASYRAF WAJDI: Isu buli ini adalah isu yang sentiasa berulang-ulang, bahkan sebelum saya menjadi Pengerusi Mara. Ia sudah menjadi seperti satu budaya dan tradisi. Bagi sesiapa yang berada di sekolah berasrama, ia macam tradisi yang didiamkan dan dihalalkan.
Sebab itu bila saya menjadi Pengerusi Mara, saya lihat budaya dan tradisi ini mesti dihentikan. Ia bertentangan dengan falsafah dan matlamat Mara untuk melahirkan generasi holistik dan seimbang. Bukan saja cemerlang akademik, bahkan sahsiah.
Mereka adalah generasi yang diharapkan untuk menjadi pemimpin pelbagai sektor negara pada masa akan datang. Mana mungkin generasi yang kita lahirkan itu adalah generasi pernah membuli atau sudah terbiasa dengan sikap membuli orang lain.
Sudah tentu kalau menjadi ketua, dia akan menindas orang bawahannya dan ini tidak boleh kita biarkan berleluasa.
Apa tindakan kepada pihak institusi sekiranya mereka menyembunyikan kes buli?
Dari awal lagi saya mewujudkan satu suasana menerusi platform, siapa sahaja boleh berinteraksi secara terus dengan saya melalui ruangan komen di media sosial di Facebook, Instagram dan TikTok. Jika ada kes buli, saya minta mereka suarakan terus kepada saya.
Ini sebenarnya memberi peringatan kepada pihak pentadbir maktab dan Institusi Pendidikan Mara bahawa ibu bapa, mahupun pelajar boleh mengadu kepada saya. Jadi kalau ada sebarang tindakan cuba menutup insiden buli atas nak menjaga nama baik maktab atau tidak mahu terpalit insiden boleh dianggap sebagai menjejaskan reputasi, perkara ini tidak boleh ditoleransikan.
Sekiranya ada insiden buli, saya akan minta penjelasan dan laporan bertulis. Mereka tahu bahawa kalau berlaku insiden itu, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) akan terus bersidang.
Jika perbuatan itu memang benar berlaku, mereka akan digantung serta-merta.
Kita bukan mahkamah untuk menentukan salah atau silap, paling utama kita nak mendisiplinkan pelajar.
Sebab itu dalam beberapa insiden, (misalnya) mereka pukul kerana junior melawan atau mengambil tindakan fizikal kerana sudah diberi amaran beberapa kali (kes pengotor misalnya), tetapi tidak diendahkan… saya beritahu, atas apa jua alasan, tidak boleh menghalalkan perbuatan fizikal yang boleh membawa kecederaan.
Bagaimana Mara memastikan keselamatan pelajar di MRSM menerusi pendekatan menyeluruh ini?
Mana-mana ibu bapa, mereka mahu suasana persekitaran sekolah atau MRSM yang selamat. Jadi kita mesti memastikan jaminan keselamatan, tapi tidak boleh hanya jaminan mulut. Kita kena wujudkan ekosistem benar-benar selamat.
Maksudnya dari segi pendidikan, pembangunan sahsiah itu berlaku secara berterusan. Warden juga sebagai komponen penting untuk pemantauan disiplin pelajar dan mengelakkan daripada perbuatan buli.
Dari segi penguatkuasaan atau pelaksanaan hukuman, undang-undang dan peraturan itu apabila berlaku penyimpangan atau perbuatan menyimpang daripada peraturan termasuk buli. Semua aspek ini memainkan peranan.
Kalau kita hanya mendidik, tetapi penyimpangan peraturan tidak ada pelaksanaannya, akan ada sikap acuh tidak acuh dari segi disiplin pelajar. Akan ada perasaan, ‘tak apalah, kena marah, kena gantung, cuti seminggu kemudian datang balik’. Jadi mereka tidak rasa sesuatu yang besar kesannya.
JDM bukan mahkamah, tetapi bila ada saja bukti, walaupun dia pimpinan pelajar dengan rekod baik, tetapi dia tidak tahan diprovokasi pun, tidak ada maaf. Kita laksanakan dan memang dah ramai yang kena tamatkan. Sampai pelajar tingkatan lima pun, nak ambil SPM kita tamatkan.
Ya, ia akan beri kesan soal gred purata maktab itu sendiri dan pelajar ini masih akan ambil SPM di maktab tersebut. Tapi kita kena beri mesej jelas bahawa kita serius dalam pembasmian budaya buli hingga ke akar umbi.
Kalau ada perbuatan ini, tidak ada kompromi. Tak payah datang mengadu sebab saya tidak akan melayan sesiapa sahaja, walaupun anak siapa pun. Orang besar sampailah orang kecil.
Amaran Datuk melalui media sosial memperlihatkan kes buli semakin senyap. Adakah petanda pendekatan ini berkesan?
Pertama sekali mereka tahu dalam hal ini saya tegas. Saya menyebar luas prinsip saya, you touch, you go (anda sentuh, anda pergi) dan saya benar-benar berpegang kepada kata-kata saya. Bila ada sahaja kes buli, mereka tahu prinsip saya.
Ia harus melalui proses biasa iaitu JDM dan kalau terbukti ada sentuhan, perlakukan buli, kita tidak akan kompromi. Maksudnya mereka ditamatkan pengajian walaupun sesetengah kes itu, mereka sudah berada di tingkatan lima atau tahun akhir.
Atas asas itu, ia seperti satu fenomena baharu di MRSM iaitu setiap pelajar tahu ketegasan saya bukan sekadar retorik, tetapi benar-benar direalisasikan. Bahkan kita promosi dalam bentuk poster sebagainya.
Saya tengok di mana-mana maktab atau institusi pendidikan Mara yang saya lawat, mereka akan tonjolkan poster-poster berkenaan antibuli.
Dengan ketegasan Datuk, adakah kes buli di Institusi Pendidikan Mara kini semakin berkurang?
Semakin berkurang, penurunan amat drastik. Saya selalu kata, kita mensifarkan buli dan itu antara agenda kita. Sifar buli dan hashtag ini kita guna selain you touch, you go, kita nak popularkannya.
Buli masih ada, bukan tidak ada. Tetapi boleh dikatakan keadaan semakin baik. Pada masa sama, kita tidak boleh mengharapkan hanya tindakan hukuman, sebab kita kena ambil langkah proaktif. Soal pendidikan, kesedaran dan nilai kasih sayang itu perlu diwujudkan dalam suasana kehidupan berasrama.
Itu sebab kita masukkan elemen agama dalam pembangunan dan kemenjadian pelajar di MRSM. Kita melaksanakan program Ulul Albab yang mewajibkan pelajar bukan sahaja menghafaz, tetapi tadabbur dengan al-Quran.
Kita mulakan projek rintis warden di dua MRSM dalam kalangan bekas tentera dan insya-Allah, dalam tempoh sebulan dua lagi ia akan berakhir. Kita akan keluarkan laporan secara lengkap oleh pihak ketiga iaitu Universiti Putra Malaysia.
Bagi saya, soal mendisiplinkan pelajar salah satu daripada program pendidikan dan ini tidak harus kita letakkan beban kepada guru yang sudah pun terbeban dengan kerja hakiki. Kita memerlukan warden sepenuh masa yang boleh buat rondaan dan pemantauan secara berterusan.
Kerja buli ini tidak berlaku waktu matahari terang, ia berlaku waktu matahari terbenam dan tengah malam. Berapa ramai sangat guru-guru diberikan elaun yang tidak seberapa sebagai tambahan untuk menjadi warden, sanggup bersengkang mata setiap malam buat rondaan.
Atas faktor ini, kita merasakan sudah tiba masanya memperkenalkan warden sepenuh masa dalam kalangan memang dilatih dengan disiplin.
Bagaimana dengan maklum balas menerusi program rintis warden bekas tentera di MRSM?
Saya sempat meninjau MRSM Balik Pulau di Pulau Pinang dan maklum balas daripada pemerhatian dan tinjauan saya, guru dan warden berpandangan tahap disiplin semakin baik. Kebersihan, kekemasan dan ketepatan masa untuk solat, makan juga baik. Termasuk disiplin pelajar dari segi adab dan akhlak.
Malah wakil pelajar juga memberi maklum balas bahawa kehadiran warden bekas tentera banyak memberi manfaat.
Fenomena ini proses biasa dalam pembangunan kemenjadian murid. Jadi secara dapatan awal yang saya sendiri dapat daripada tinjauan itu adalah positif. Bagaimanapun, biarlah tempoh bulan-bulan terakhir ini, kajian dan laporan dapat disediakan untuk kita kongsikan.
Kita akan angkat kepada Jemaah Menteri melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Saya tidak menolak kemungkinan untuk kita bincang di peringkat pengurusan dan dibawa ke peringkat majlis untuk diperhalusi kemungkinan menjadikan warden sepenuh masa sebagai perjawatan khas untuk semua MRSM dan Institusi Pendidikan Mara.
Datuk tidak akan layan dan terima rayuan pelajar terlibat membuli. Ada ibu bapa mahu ambil tindakan undang-undang. Respons Datuk?
Ada ibu bapa rasa anak dia teraniaya, kata nak ambil tindakan, bawa ke mahkamah nak saman saya. Okey kita tak ada masalah. Kita sanggup berhadapan, sebab yang penting proses itu bukan kita ambil sekali.
Amaran sudah diberi, nasihat sudah dilakukan, program pendidikan dan kesedaran berlaku secara berterusan.
Tapi bila masih berlaku dan atas apa jua alasan, mereka rasa diprovokasi, tapi dari segi disiplin bawah Mara, mereka tidak layak menjadi pelajar bawah Mara.
Semua pelajar sudah buat ‘aku janji’, ia wajib kepada mereka. Mereka tidak akan membuli, tidak akan terjebak proses membuli, tidak akan mengizinkan atau berkonspirasi dan kalau ada, mereka pun bersedia ntuk diambil tindakan.
Sebab itu saya naikkan status (media sosial), netizen dan masyarakat pun menyokong saya. Mungkin atas faktor itu, dia tak jadi hantar surat tuntutan. Mereka ugut pengetua, pentadbir maktab, sebab itu saya beri amaran secara jelas.
Saya tidak takut dengan apa-apa ugutan, bagi saya ini bukan sesuatu yang boleh kita kompromi dan pandang ringan. Kita ada agenda besar, bukannya agenda percuma. Agenda yang menggunakan setiap sen wang rakyat. Kita nak pastikan setiap sen wang rakyat dimanfaatkan.
Kebanyakan kes buli berpunca daripada latar belakang keluarga. Apakah Mara memperkasakan aktiviti kaunseling dan psikologi?
Berdasarkan dapatan kita, kes buli ini terkait mereka bermasalah dari rumah lagi. Keluarga berantakan, ibu bapa bercerai-berai, mereka dibuli oleh anggota keluarga masing-masing. Kita perkasakan guru-guru kaunseling. Bagi kita segala program preventif lebih mustahak untuk diadakan.
Selain itu, program agama antara maghrib dengan isyak dan kuliah turut diadakan. Kita bekerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam bagi memberikan khidmat percuma.
Mereka turun ke MRSM memberikan pencerahan berkenaan soal perundangan, isu-isu dan kes yang sudah berlaku bagi memberi gambaran kepada pelajar bahawa buli ini isu serius, tidak boleh ambil mudah.
Isu buli menjadikan Datuk kini bergelar ‘Daddy Mara’?
Mereka punya istilah, saya pun tidak mahu sekat sebab bila pelajar merasa dekat, mereka boleh berinteraksi terus, boleh mengadu kepada saya. Biasanya saya ambil tindakan pantas tentang apa jua aduan. Bagi saya, semua pihak memainkan peranan.
Pengurusan, pentadbir di maktab daripada pengetua sampailah guru, mereka memainkan peranan termasuk pelajar. Jadi ini satu ekosistem yang akhirnya kita mahu modal insan yang bagaimana sifatnya?
Bukan sahaja akademik, jasmani, emosi, rohani, intelek seimbang, sahsiah hebat dan keperibadian terpuji. Akhirnya kita mahu lahirkan insan yang akhirnya akan terjun dalam masyarakat. Boleh beri manfaat, bukan meruntuhkan masyarakat.
Jadi permulaan adalah di sekolah dengan kerajaan belanjakan jutaan ringgit untuk pelaburan ini. Kita harus memastikan semua aspek dalam kita bangunkan anak ini dilakukan dengan baik.














